Masyarakat Melayu dahulu kala mengenakan hukuman bunuh dengan menggunakan peralatan tradisional termasuk keris ekoran senjata itu dipercayai alatan yang paling tajam dan ‘tercanggih’ pada zaman tersebut.
Klasiknya pada abad itu, setiap hukuman yang dijatuhkan oleh pihak penguasa diberi nama berdasarkan senjata yang diguna untuk menghukum pesalah.
Kebiasaannya hukuman bunuh dikenakan sekiranya pesalah membuat jenayah berat seperti menderhaka kepada raja dan pemerintah.
Justeru mengimbau semula zaman dahulu, nenek moyang kita pada waktu itu mempunyai satu kaedah hukuman mati yang dipanggil sebagai salang.
Walaupun ia dilaksanakan di Kepulauan Melayu, namun kaedah hukuman mati ini dipercayai mendatangkan rasa kagum dalam kalangan orang Barat khususnya Eropah.
Ini kerana hukuman mati yang dilaksanakan di negara mereka dipercayai lebih kejam susulan kepala pesalah akan dipenggal dan diseksa dengan teruk sehingga mati serta tiada belas kasihan diberikan kepadanya.
Namun berbeza dengan salang, keunikan utamanya adalah pesalah yang dihukum mati dipercayai tidak akan berasa sakit walaupun sedikit, sekali gus membuktikan kebijaksanaan orang Melayu ketika itu dalam menjalankan hukuman bunuh.
Kenapa diberi nama salang
Hukuman itu diberi nama sedemikian ekoran cara membunuhnya adalah dengan menikam tepat di pundak (bahu) kiri hingga mata senjata menembusi tepat ke bahagian jantung.
Tusukan itu perlu ditusuk mendalam dan oleh sebab itu hanya senjata yang panjang, tajam atau teguh sahaja yang boleh digunakan untuk membuat hukuman tersebut.
Dikenali pada abad kesembilan, keris dipercayai merupakan antara salah satu senjata yang digunakan penguasa semasa hukuman salang selain lembing.
Terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mata, hulu dan sarung, kebiasaannya keris digunakan untuk menikam pihak lawan ketika berlawan antara satu sama lain.
Namun bagi hukuman salang, hanya keris istimewa sahaja yang akan digunakan terutamanya Keris Salang atau Keris Bahari yang dikenali sebagai Keris Alang di Pahang.
Keris ini diberikan oleh sultan kepada orang yang dilantik sebagai pelaksana hukuman yang dipanggil penyalang.
Semasa hukuman salang dilakukan, pesalah akan diletakkan secara melutut dengan tangannya diikat ke belakang serta matanya ditutup.
Penyalang itu kemudiannya menghunus keris itu dan tikaman akan ‘berjalan’ antara tulang selangka serta menyerong ke kanan.
Senjata yang digunakan penyalang adalah sama ada keris atau lembing, kemudiannya ditarik keluar dan luka ditutup dengan kain atau kapas.
Tusukan yang menembusi ke jantung pesalah akan menyebabkan kematian berlaku serta merta dengan kecederaan yang parah, namun tubuhnya kekal dalam keadaan baik.
Sumber: ASEAN Heritage & History / Lela Rentaka