• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ibu, bayi maut kenderaan hilang kawalan

Aug 20, 2020
Spread the love

BERA – Perjalanan empat beranak bertukar tragedi selepas dua daripada mereka maut termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan setelah kereta yang dinaiki hilang kawalan di Kilometer (KM) 43 Jalan Temerloh-Pos Iskandar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Siti Zulaikha Rasli, 32, dari Felda Triang 1 dan anak angkatnya, Zaara Aisyah Abdul Rahim, tujuh bulan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Bandar 32.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Menurutnya, nahas berlaku di satu selekoh berbukit (menurun) ketika hujan lebat dan angin kencang.

“Kenderaan terbabit dari arah Felda Triang 1 hendak ke Temerloh. Apabila sampai di selekoh berbukit itu, tiba-tiba kenderaan yang dipandu adik mangsa, Mohamad Nur Rashid Rasli, 26, hilang kawalan lalu terbalik di sebelah kiri jalan arah ke Temerloh.

“Akibat kejadian itu, Hilux itu menggelongsor lebih kurang 30 meter dan terus masuk ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.

“Ia menyebabkan pemandu mengalami cedera ringan manakala penumpang belakang iaitu ibu mereka, Anizah Maidin, 52, patah di bahu sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Siti Zulaikha yang duduk di bahagian hadapan memangku bayinya disahkan meninggal dunia ketika dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar 32.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Sumber Sinar Harian 20/8/2020