• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ini bukan masa berpolitik sakan: Abang Johari

Spread the love

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata, keadaan sekarang bukanlah masa sesuai berpolitik sakan tetapi masa untuk menggembleng tenaga menangani ancaman Covid-19.

Beliau berkata, ketika negeri dan negara berhadapan dengan krisis kesihatan akibat pandemik, tiada yang lebih penting daripada negara dan negeri ditadbir oleh kerajaan stabil dan bersyukur Sarawak mempunyai kerajaan kuat di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Namun, di peringkat Persekutuan keadaan agak membimbangkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 peringkat negeri Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri perlu mentadbir dalam suasana harmoni berlandaskan perlembagaan, yang mana hubungan baik itu telah membolehkan kerajaan Persekutuan sekarang untuk menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya (kementerian) ini adalah platform amat baik untuk melibatkan kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam usaha mencari penyelesaian.

“Apa yang penting, harus ada persefahaman antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam konteks penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Semenanjung, Sarawak dan Sabah,” katanya.

Abang Johari berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan ini membolehkan perundingan bagi Sarawak dan Sabah untuk mendapatkan kembali hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 berjalan dengan baik.

“Alhamdullilah, setakat ini Sarawak sudah mencapai sedikit kemajuan untuk mengembalikan hak-haknya dan mendapat pulangan hasil yang lebih adil kepada negeri ini dan rakyatnya,” katanya.

-Sumber Sinar-