SHAH ALAM, 9 MEI 2022 – Mutakhir ini, kita dapat lihat fenomena membuka aib pasangan secara terang-terangan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka lakukan. Lagi-lagi hari ini penyebaran aib makin meluas dengan menggunakan teknologi serba canggih.
“Memberitahu dan menyebarkan keaiban berkeluarga di khalayak sosial adalah haram dalam beragama. Dalam berkeluarga ada ketuanya.
Suami mestilah memimpin keluarganya ke syurga. Manakala isteri mestilah taat kepada suami selagi tidak kepada perkara maksiat.
Tindakan suami tidaklah sehingga membunuh isterinya, memadailah menasihat dan menegur secara berakhlak.. Mukmin mestilah taat kepada Allah.”
Petikan diambil daripada dinding laman Facebook Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani itu sedikit sebanyak mengulas tentang kejadian kejam di mana seorang suami tergamak memukul sang isteri sehingga menemui ajal sebelum umat Islam menyambut hari raya baru-baru ini.
Motif pembunuhan dipercayai kerana suami marah dengan isteri disebabkan si isteri telah memuat naik status ke media sosial bahawa si suami mempunyai hubungan sulit.
Kes telah dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwaraya Selangor dan suspek akan dituduh pada 9 Mei ini di Mahkamah Majisret Kajang.
Semoga menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua dalam kehidupan yang berteknologikan matlumat di hujung jari ini.
Kepada para suami jadilah qudwah dihadapan isteri dan sentiasa dekatkan diri kepada Allah. Ini kerana isteri dan anak-anak merupakan satu amanah yang sangat besar.
Kepada para isteri jadikanlah diri sebagai seorang isteri yang solehah dalam memelihara maruah suami dan anak-anak. Ini kerana kehebatan seorang suami disebabkan oleh seorang isteri yang sentiasa di samping keluarga.