Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempersoal tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang mengeluarkan ‘kenyataan liar’ berhubung ketuanan Melayu.
Presidennya, Aminuddin Yahaya hairan dengan tindakan bekas menteri Wilayah Persekutuan itu yang tiba-tiba membuat kenyataan mengenai perkara tersebut di laman sosialnya.
“Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba Khalid membuat kenyataan sebegini. Biasanya apabila duduk saja-saja sambil bosan semasa cuti dan membuat luahan sebegini datang dari suatu perasaan dan emosi yang menebal dan terpendam lama.
“Saya tak faham, apa faedahnya Khalid mengeluarkan kenyataan liar sebegini. Jangan kerana mileage politik, kamu sanggup memburuk-burukkan bangsa sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menerusi hantaran itu, Aminuddin bertanya kepada Khalid sejak bila Ketuanan Melayu itu sama seperti Zionisme, Nazi Hitler dan White Supremacist Trump.
“Sejak bila orang Melayu memahami Ketuanan Melayu sebegitu rupa? soalnya lagi.
Aminuddin berkata, orang Melayu sudah membuktikan mereka sebuah bangsa yang sangat bertoleransi walaupun sudah sekian lama hidup dengan Ketuanan Melayu.
Malah jelas beliau lagi, kaum lain mampu hidup mewah dan kaya raya di Malaysia termasuklah di kawasan-kawasan majoriti Melayu.
Beliau turut mempertikai tindakan Khalid yang seolah-olah terbuku dihatinya mahu menghapuskan Ketuanan Melayu itu yang mungkin dianggap sesat sebagaimana aliran sesat yang lain.
Terdahulu, Aminuddin menyertakan tangkap layar petikan Khalid yang diambil di laman sosialnya.
Menerusi Twitter Khalid menulis, ‘Ketuanan Yahudi’ menghasilkan ‘Zionisme’.
‘Ketuanan Aryan’ menghasilkan ‘Nazi’ Hitler.
‘Ketuanan Kulit Putih’ menghasilkan ‘White Supremacist’ Trump.
‘Ketuanan Melayu’ sealiran dengan tiga fahaman sesat ini. Tolak ketuanan bangsa! ‘Kedudukan Istimewa bukan ‘Ketuanan’, demikian tulis Khalid.
MalaysiaGazette
By Mohd Zaini Samsu Hadi – 2 August 2020