• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Isu 1MDB, JAKIM jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Mar 17, 2022
Spread the love

Isu berkaitan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dikatakan diletak di bawah Majlis Raja-Raja serta jumlah bayaran balik hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) oleh kerajaan, antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan berkaitan kedudukan Jakim itu diajukan Abdul Latif Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) pada Waktu Pertanyaan Menteri yang mahu Perdana Menteri menjelaskan sama ada benar Jakim kini diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja sepertimana dilaporkan di dalam media.

Turut tersenarai, soalan M Karupaiya (PH-Padang Serai) kepada Menteri Kewangan berkaitan jumlah yang dijelaskan oleh kerajaan untuk membayar balik hutang berkaitan 1MDB dan SRC International serta sumber kewangan yang digunakan.

Karupaiya juga ingin tahu mengenai jumlah nilai daripada setiap sumber berkenaan dan pembayaran itu dibuat atas nama siapa serta jumlah baki yang masih rakyat Malaysia berhutang.

Pada sesi soal jawab pula, Datuk Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan sama ada terdapat cadangan untuk mengekalkan Program Jualan Keluarga Malaysia khasnya, ketika musim perayaan di seluruh negara.

Selain itu, isu pengangguran belia (kategori umur 15-24 tahun) akan diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta Menteri Sumber Manusia menjelaskan langkah segera kerajaan dalam menangani masalah itu yang kini berada pada tahap 13.7 peratus menurut perangkaan Tenaga Buruh Malaysia November 2021.


Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) pula bertanyakan Menteri Dalam Negeri sama ada terdapat kematian dalam tahanan imigresen dalam tempoh lima tahun lepas dan langkah-langkah untuk menyiasat serta mencegah kejadian itu.

Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja melibatkan tiga lagi kementerian didahului dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – Bernama