PENGURUS Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Dr Nazmi Ghazali Azmi bersiaran langsung mengupas tajuk ‘Air: Solusi Bersama’ di KelantanTV malam tadi.
Catatan ini merupakan sebahagian besar penjelasan beliau mengenai latarbelakang, keadaan, masalah atau isu, serta usaha dan solusi dilaksanakan AKSB bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan untuk keperluan atau kepentingan pengguna yang merupakan rakyatnya.
Mari ikuti semula secara tenang dan jadikan butiran maklumat untuk dikongsikan bersama, selain diwacanakan lagi serta disampai atau disebarluaskan untuk pengetahuan mereka yang lain:
● AKSB adalah badan korporat iaitu sebuah syarikat sendirian berhad yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Kelantan di mana bertanggungjawab dalam menguruskan bekalan air. Iaitu daripada menguruskan perawatan air dan seterusnya membekalkan air kepada pengguna-pengguna AKSB.
● Dari aspek peruntukan kewangan, yakni daripada Kerajaan Persekutuan, bagi menyediakan perbekalan air awam, Negeri Kelantan pernah menerima kelulusan sebanyak RM60 juta bagi projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) pada tahun 1990. Tetapi pada Oktober tahun sama, peruntukan itu telah ditarik balik.
● Sehinggalah dalam Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8) iaitu bagi tahun 2001-2005, Kerajaan Negeri Kelantan sekali lagi memohon daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM600 juta bagi tujuan perbekalan air negeri. Pada pertengahan RMK8 itu akhirnya diluluskan sebanyak RM290 juta dalam bentuk pinjaman, bukan geran.
● Sedangkan negeri lain bagi tujuan sama, misalnya Negeri Pahang dalam RMK11 mendapat lebih RM1 bilion, Pulau Pinang juga lebih RM1 bilion dan Johor RM700 juta lebih, semuanya dalam bentuk geran, yakni tidak perlu dibayar semula.
● “Jadi yang inilah yang kita nak. Nak minta keadilanlah supaya kita pun dapat juga dalam bentuk geran. Setakat ini kita masih hanya dapat dalam bentuk pinjaman pinjaman. Maknanya bila kita sebut sebagai pinjaman ini, ia, sesuatu yang dibayar balik.
● Beliau melihat adanya sinar yang positif susulan pertemuan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini. Kerajaan Negeri memohon peruntukan RM8 bilion meliputi pelbagai projek antaranya Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di lima jajahan dan penukaran paip sepanjang 1,090 kilometer.
● TAPS diperlukan kerana Kelantan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai empangan perbekalan air sedangkan negeri lain mempunyai lebih dari satu empangan bagi tujuan itu. Oleh itu, TAPS adalah sekecil-kecil permohonan di mana ianya juga boleh digunakan semasa kecemasan seperti kemarau dan seumpamanya kerana biasanya di musim panas air sungai akan surut dan mengurangkan bekalan.
● Perdana Menteri tidak menolak, tetapi tidak juga meluluskan semua kerana jumlah itu dikatakan besar dengan kemampuan Kerajaan Persekutuan ketika ini berbanding peruntukan belanjawan yang ada. Mengikut keutamaan, sebanyak RM1.7 bilion diluluskan dahulu di mana bayaran akan diberikan bagi tahun ini adalah sebanyak RM500 juta.
● Namun kepastian sama ada ianya pinjaman atau geran, belum dimuktamadkan. Di mana dalam masa sama, pinjaman sejak tahun 1990 itu masih mempunyai baki RM279 juta belum dibayar dan Kelantan memohon untuk ia dihapus kira.
● AKSB ketika ini memerlukan untuk melakukan penggantian paip sepanjang 1,090 kilometer melibatkan amaun hampir RM400 juta yang juga dimohon pinjaman, selain loji rawatan air (LRA) di Machang melibatkan pinjaman RM500 juta. Juga diperlukan pembinaan tangki perkhidmatan.
● Sedar wujud rintihan rakyat, namun berlaku juga persepsi dan andaian-andaian, tetapi sebenarnya pihak AKSB terima kelemahan dan teguran itu. Di mana banyak pelaksanaan dilakukan melibatkan perancangan jangka panjang dan jangka pendek seperti penggantian paip dan pembinaan LRA.
● Banyak paip itu berusia lebih 40 tahun dan memerlukan penggantian yang ianya dahulu dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum tugas itu kini dipikul AKSB. Sepertimana keadaannya di negeri lain, paip Asbestos Cement (AC) itu umpama bom jangka yang boleh pada bila-bila masa meletup.
● AKSB menggunakan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) memantau dan giat melakukan penggantian semula. Di mana untuk penukaran 400 kilometer terkini, sudah 200 kilometer lebih disiapkan yang kebanyakannya berada dalam Bandar Kota Bharu dan Pasir Mas serta beberapa tempat lain.
● Bagi penggantian tersebut ia tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa di mana dalam setahun ia dapat dilakukan ke atas 150 kilometer. Apabila penggantian diadakan, penyaluran atau perbekalan air di kawasan berkenaan terpaksa ditutup atau dihentikan sementara sehingga kerja berkaitan selesai.
● Itulah menyebabkan gangguan bekalan air yang hal demikian menuntut ianya turut difahami oleh para pengguna air AKSB kerana ia turut melibatkan pengujian ke atas sistem perbekalan daripada LRA. Jika tidak, masalah ‘bom jangka’ tadi boleh merebak ke paip-paip perumahan.
● Keadaan paip yang uzur juga menyebabkan masalah air tidak berhasil (NRW) di mana jika diproses keluar 500 juta liter sehari (JLH), tetapi yang sampai kepada pengguna cuma 250 JLH.
● Keutamaan AKSB adalah bagi memastikan penggunanya dapat menikmati perkhidmatan air secara terus dan efektif. Selain menggalas tanggungjawab dalam mengurus operasi bekalan air dengan mengenal pasti sumber air, rawatan, pembekal dan agihan kepada pengguna.
● Serta merancang dan melaksanakan pembangunan prasarana bekalan air bagi memastikan kualiti dan kuantiti air Kelantan sentiasa berada pada tahap yang terbaik. AKSB akan terus meneroka inovasi, teknologi yang mampu mengoptimumkan kos bagi memastikan pengguna terus menikmati perkhidmatan air yang berterusan.
● AKSB menyediakan perkhidmatan mesra pelanggan secara dalam talian yang boleh dimuat turun di aplikasi Apps Store dan Google Play. Pengguna juga boleh membuat semakan atas sebarang aduan berkaitan masalah gangguan bekalan air dan membuat pembayaran bil secara terus dalam talian.
● AKSB setiap hari melayan banyak aduan dan menganggap ia perkara yang bagus menunjukkan pengguna memberi perhatian dan menaruh harapan agar masalah mereka ditangani. Itu mewujudkan hubungan antara pengguna dan AKSB di mana semua aduan sedaya-upaya diselesaikan.
● AKSB telah menambah lori-lori tangki baharu termasuk yang sedia ada untuk menghantar bekalan kepada pengguna atau kawasan terjejas. Malah turut menyewa lori-lori tangki bagi tujuan berkenaan selain menghadapi kecemasan tertentu atau permintaan yang meningkat.
● AKSB selain melaksanakan pembinaan atau menaik taraf LRA dan melakukan penukaran paip serta agihan menerusi lori tangki, turut meningkatkan pengeluaran air dengan mengorek terusan daripada sungai, selain penggalian telaga-telaga lama serta kawasan-kawasan tadahan.
● Menghadapi Hari Raya Aidiladha bakal menjelang, AKSB bersiapsiaga ‘full gear’ dengan peranan tidak hanya digerakkan AKSB, tetapi turut menunjukkan komitmen kepada usaha Kerajaan Negeri Kelantan menangani masalah air di negeri ini adalah wakil-wakil rakyat.
● Wakil-wakil rakyat di Kelantan telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Air Jajahan yang bermakna sebagai penghubung antara rakyat dengan AKSB. Oleh itu penduduk boleh berhubung dengan wakil-wakil rakyat selain berhubung langsung dengan pihak AKSB.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre