ALOR SETAR- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) perlu mengambil tindakan segera atas kecuaian Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) mengendalikan kerosakan mekanikal sensor automatik pada pintu baraj Sungai Muda baru-baru ini.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, PLSM merupakan agensi pengurusan di bawah NRECC yang bertanggungjawab pengoperasian pintu baraj.
“Baraj itu seratus peratus di bawah NRECC, bukan di bawah Lembaga Sumber Air Kedah, bukan di bawah SADA dan bukan di bawah pejabat Menteri Besar.
“Siapa yang menyalahkan kerajaan negeri, saya ingin betulkan bahawa tundingan itu sepatutnya ke Putrajaya kerana itu tanggungjawab mereka,” ujar beliau pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.
Katanya, perkara ini perlu difahami kerana ada cubaan membina naratif bahawa kejadian yang berlaku atas faktor kelemahan kerajaan negeri walhal punca kuasa berada pada kementerian dalam kerajaan persekutuan.
Jelas Menteri Besar, pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) sudah memaklumkan kepada PLSM berkaitan penyusutan paras Sungai Muda pada 10 malam Ahad lalu.
Namun, tambah beliau pada jam 7 pagi hari seterusnya pintu baraj tersebut baru ditutup oleh petugas menyebabkan pintu baraj terbuka selama 11 jam.
“Prosedur sepatutnya setiap dua jam ada petugas akan turun periksa paras sungai dan melaporkan keadaan baraj dalam buku log,” katanya.
Tegasnya, NRECC perlu mengambil tindakan kepada pihak yang bertugas pada waktu itu atas kecuaian yang dilakukan.
Mengulas berkenaan Pulau Pinang yang cuba menyalahkan pihak kerajaan negeri Kedah, beliau menjelaskan bahawa baraj itu mempunyai dua bahagian iaitu di Kedah dan Pulau Pinang.
“Semua pintu baraj Pulau Pinang sudah rosak kerana strukturnya berusia lebih 50 tahun, yang boleh berfungsi hanya sebelah Kedah, jadi mereka tak boleh kata kita sahaja,” jawabnya.
📸 Urus Setia Penerangan Darul Aman