SHAH ALAM, 15 APRIL 2022 –
KENYATAAN PERMOHONAN MAAF DARIPADA AMAR ABD JALIL KEPADA DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF
Saya, Amar Abd Jalil, mengaku telah menerbitkan 2 kenyataan pada 28 April 2021 (“Kenyataan-kenyataan tersebut”) yang merujuk kepada Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff dalam kapasiti peribadi dan profesional beliau sebagai pensyarah kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM). 2 kenyataan ini saya terbitkan di laman Facebook AMK Cabang Padang Besar yang saya ketuai dan di laman Facebook peribadi saya bernama Amar Abd Jalil.
Di dalam 2 kenyataan tersebut, saya telah membuat kenyataan-kenyataan yang berbunyi:
a) “Assalamualaikum dan salam sejahtera, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Padang Besar Perlis terpanggil untuk membuat satu laporan polis terhadap Kamarul Yusoff yang telah membuat satu tulisan di Facebook beliau yang telah menghina Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis. Walaupun didapati tulisan berkenaan telah dibuang oleh beliau, AMK Cabang Padang Besar ingin mendesak pihak Polis Diraja Malaysia menyiasat individu berkenaan di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 [Akta 589]. Oleh itu, AMK Cabang Padang Besar akan membuat laporan polis berkenaan pada jam 11.00 pagi ini. Dijemput para pengamal media untuk turut hadir. Terima kasih Amar Abd Jalil Ketua AMK Cabang Padang Besar” (“Kenyataan 1”)
b) “LIVE Sidang Media Laporan Polis Terhadap Kamarul Yusoff yang telah menghina Tuanku Raja Muda Perlis #Share.” (“Kenyataan 2”)
Saya, Amar Abd Jalil, mengakui bahawa kesemua kenyataan yang terkandung di dalam 2 kenyataan tersebut sebenarnya adalah tidak benar. Oleh sebab itu, saya dengan ini:
(1) Menarik balik kesemua kenyataan yang terkandung di dalam 2 kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya di masa hadapan.
(2) Menarik balik laporan polis yang telah saya buat ke atas Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff di IPD Kangar pada 28 April 2021.
Saya, Amar Abd Jalil, merasa amat kesal atas keterlanjuran saya menerbitkan 2 kenyataan palsu tersebut dan saya dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff kerana telah menyebabkan beliau mengalami kecederaan yang serius sama ada dalam kapasiti peribadi atau profesional beliau.
Saya, Amar Abd Jalil, dengan ini juga menegaskan bahawa:
(a) Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff sebenarnya tidak pernah membuat apa-apa hantaran Facebook yang menghina Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis.
(b) Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff sebenarnya tidak pernah melakukan apa-apa jenayah yang menyebabkan ketegangan dan kebencian atau menyebabkan keharmonian dan perpaduan terjejas bersandarkan agama.
(c) Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff sebenarnya tidak pernah melakukan jenayah fitnah.
(d) Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff sebenarnya tidak pernah menulis komen atau komunikasi yang palsu dan menyinggung perasaan orang ramai di internet.
Yang benar,
Amar Abd Jalil
Bertarikh: 15 April 2022