SHAH ALAM, 3 JULAI 2023 – Jabatan Amal Malaysia turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman.
Pengarah Operasinya, Shehdi Hazrik Shamsudin berkata, pihaknya turun kali ini dengan kekuatan 20 anggota beserta tiga bot fiber dan dua bot getah yang diketuai oleh Timbalan Ketua Kor Marin, Zor Alias dan anggota Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu (JAMNT).
“Semoga dengan bantuan yang diberikan dari JAMNT dan pelbagai agensi penyelamat yang turut membantu, kesemua mangsa dapat dijumpai hari ini. Insya Allah sama-sama kita doakan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi SAR mencari lapan lagi mangsa dalam tragedi yang berlaku semalam itu disambung jam 9 pagi ini.
Tujuh daripada mangsa adalah daripada satu keluarga iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Sementara seorang lagi, Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat merupakan tunang Putri Balqis Izzati.
Dalam perkembangan terbaharu, mayat ketiga dan keempat mangsa tragedi kepala air itu ditemui pada pukul 11.00 dan 11.25 pagi ini. – HARAKAHDAILY 3/7/2023