JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) nafi mengeluarkan sebarang maklumat mengenai penetapan tarikh hari raya Aidilfitri bagi tahun 2023 seperti yang tular pada Isnin.
Ia selepas tersebar satu kalendar didakwa daripada jabatan tersebut memaparkan tarikh 1 Syawal yang jatuh pada 21 April ini.
“Jakim menafikan kenyataan dibuat pihak tertentu mengenai penetapan tarikh hari raya Aidilfitri bagi tahun 1444H / 2023M yang mendakwa dikeluarkan jabatan ini.
“Semua pihak dinasihatkan supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” menurut Jakim dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada 31 Mac lalu, turut tular satu tangkap layar daripada skrin di Masjid Wilayah Persekutuan, yang memaparkan tarikh akhir Ramadan tahun ini adalah pada 20 April.
Penyebaran itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan warganet memandangkan negara pada tahun lepas baru sahaja dikejutkan dengan pengumuman tarikh Hari Raya sehari awal daripada dijangkakan.
Mengulas mengenai perkara itu, Jakim menjelaskan bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama.
Katanya, pengumuman itu dibuat sejurus selepas menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
“Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023.
“Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh Jakim atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan Panel Pakar Falak,” menurut Jakim. — Majoriti