• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Jamin pendapatan nelayan, hentikan pesta Sungai Rui elak ‘Loma’ pupus – Razman Zakaria

May 20, 2022 ,
Spread the love

LESTARI SUMBER MAKANAN UNTUK JAMIN PENDAPATAN NELAYAN, HENTI PESTA SUNGAI RUI ELAK KEPUPUSAN ‘LOMA’

BAGAN SERAI, 19/05/2022- Bermula tahun ini Perak bakal memperkenalkan dasar musim tertutup bagi penangkapan ikan loma di Sungai Rui sebagai langkah memastikan spesis itu tidak diancam kepupusan.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak YB Tuan Hj. Razman Zakaria berkata, secara prinsipnya dasar itu bakal diluluskan oleh kerajaan negeri bagi menjaga kelestarian sumber.

Bukan sahaja penutupan musim tangkapan untuk ikan loma, malahan beberapa langkah turut dilakukan bagi menjaga semua spesies atau jenis ikan yang terdapat di perairan negeri, antaranya dengan menguatkuasakan pengharaman alat penangkapan yang tidak dibenarkan seperti bubu naga.

Menghadkan hanya enam hari seminggu penangkapan ikan bagi lesen ‘bot kenka’ juga merupakan antara langkah mencapai objektif tersebut.

“Bermula dari tahun 2020 beberapa langkah telah diambil seperti di zon B dalam negeri Perak, nelayan-nelayan yang berada di zon B sepakat untuk tidak turun menangkap ikan pada hari Ahad serta penggunaan bubu naga juga tidak dibenarkan untuk menjaga kelestarian sumber.

“Dan mungkin bermula tahun ini telahpun di luluskan secara prinsip, secara dasar oleh kerajaan negeri supaya untuk (dikuatkuasakan) musim tertutup penangkapan ikan loma.

“Sebagaimana yang kita tahu penangkapan ikan loma di Kuala Rui ini, dia jadi satu pesta daripada bulan Ogos kepada bulan Disember. Dia tangkap ikan begitu banyak sekali.

“Dia sama macam ikan salmon lebih kurang. Kalau orang putih bila ikan salmon naik ke atas untuk lepaskan telur, dia tak tangkap. Jadi ikan loma ni dia naik bertelur, untuk lepaskan telur di Kuala sungai Rui sahaja. Jadi semua ikan daripada perairan di kawasan Pasir Salak naik ke atas dia orang pakat tangkap semua.

“Jadi kalau perkara ini diteruskan maka mungkin akan berlaku kepupusan seperti ikan-ikan lain sepertimana temoleh, belida, sebarau dan patin buah yang telah hampir pupus.

“Maka kita tak mahu bila benda (ikan) tu dah tak ada esok (nanti) barulah (berusaha) untuk menjaga sumber supaya ada” ujar Razman.

Beliau berkata demikian ketika program pelepasan benih ikan anjuran Pejabat Perikanan Negeri di perairan umum negeri Perak yang diadakan di kolam bukit merah di sini pada Khamis.

Sejumlah 26 ribu benih ikan dilepaskan di mana sebelumnya program sama turut berlangsung di jeti Kampung Dew dengan pelepasan 25 ribu ekor benih baung dan lampam menjadikan lebih 50 ribu benih ikan dilepaskan pada hari ini.

Menurutnya lagi program ini merupakan sebahagian daripada program pelepasan 5 juta benih ikan bertujuan meningkatkan sumber selain menjaga kelestarian makanan dalam bentuk itu.

Sebanyak 16 siri pelepasan benih ikan telah dirancang bermula hari ini sehingga hujung tahun di semua daerah dengan jumlah sekitar sejuta benih diperuntukkan di Perak sahaja. Jumlah tersebut merangkumi jenis baung, lampam, udang galah dan siakap.

Razman berharap dengan usaha ini bukan sahaja menjamin sumber protein berterusan, malahan ianya turut mengekalkan sumber pendapatan bagi nelayan.

Beliau juga turut menekankan pentingnya komitmen dan tanggung jawab dari semua pihak dalam memastikan usaha mencapai objektif yang dirancang dapat direalisasikan.