• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Jangan buat spekulasi perbicaraan pendakwah terkenal

Sep 29, 2022
Spread the love

Masyarakat dinasihatkan tidak menangguk di air yang keruh dengan membuat spekulasi dalam perbicaraan gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Tanpa menyebut nama pendakwah yang dimaksudkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berharap orang ramai tidak mengulas kes perbicaraan sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak.

“Kes ini adalah kes yang sedang dibicarakan dalam Mahkamah dan perlu untuk kita menghormati proses mahkamah dan biarkan pihak yang berautoriti melaksanakan tugasnya.

“Peganglah kepada pesan dan ajaran agama yang digariskan mengikut kaedah fiqh menyebut ‘asal setiap sesuatu adalah tidak bertanggungjawab, tidak bersalah’.

“Dengan erti kata lain, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dijatuhkan hukuman yang membenarkan kes berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Idris, orang ramai diseru tidak menangguk di air yang keruh sehingga memberi mesej buruk terhadap nilai agama.

Katanya, ini kerana ramai lagi agamawan yang berusaha membawa mesej agama kepada masyarakat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

“Kita tetap tidak bersetuju dengan apa-apa perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi perlakuan yang menceroboh kehormatan diri.

“Jika berlaku jenayah, ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan, tidak kira siapa pun, ini untuk memberi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Menurut Idris, semua pihak perlu bersatu padu dan bersatu hati untuk memberi kempen kesedaran kepada masyarakat daripada jenayah.

Katanya, menjadi tugas kita semua pihak untuk sama-sama melindungi masyarakat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Biarlah kebenaran itu dibawa ke saluran yang tepat dan kita terus menjadi rakyat dan umat Islam yang bertanggungjawab dalam apa jua situasi agar Allah menilai yang terbaik kepada usaha kita sebagai seorang Islam,” katanya.