• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Jangan politikkan bantuan banjir” -Datuk Siti Zailah

Spread the love

SHAH ALAM, 1 JANUARI 2021 – Pemberian bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan isu politik, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

“Dalam membincangkan soal kesukarelawanan dan pemberian bantuan adalah merupakan satu ibadah yang tidak seharusnya dijadikan sebagai satu isu politik.

“Bagi saya sendiri yang berada dalam sebuah parti politik Islam kami telah dididik sebelum kami menyertai arena politik untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dan saya sendiri sudah 35 tahun bersama dengan masyarakat jadi sebenarnya kerja kebajikan ini adalah tanggungjawab kita dan politik ini cumalah pelengkap untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini,” katanya.

.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk “Misi Bantuan Banjir Untuk Laba Politik?” di sini malam ini.

Ketika ditanya mengenai penglibatan sukarelawan daripada parti politik yang mengenakan pakaian dan logo parti ketika di lapangan, Siti Zailah berkata, Malaysia sebagai sebuah keluarga besar yang mempunyai masyarakat dengan pelbagai latar belakang telah menunjukkan sikap keterbukaan dan keikhlasan masing-masing dalam membantu mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir.

“Kita sebagai satu keluarga besar yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan ideologi politik, ini menunjukkan keterbukaan kita yang penting kita tidak meletakkan mesti pakai pakaian yang tertentu, sebab itu menunjukkan keikhlasan mereka.

“Bagi saya, tak kisah mereka pakai warna atau logo apa, yang penting adalah kecintaan dan kasih sayang mereka bagaimana mereka menyantuni mangsa ini adalah sifat yang terpuji dan saya lihat ada orang Islam menolong yang bukan Islam dan begitu juga sebaliknya menunjukkan dalam kita menghadapi bencana ini kita adalah seperti satu keluarga yang erat,” katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menggerakkan lebih daripada 3,000 pegawainya bagi memastikan penempatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir berada dalam keadaan terurus serta makan minum yang mencukupi dan sebanyak RM35 juta telah dibelanjakan oleh pihak kementerian bagi tujuan penyediaan barangan keperluan asas. Sinar