BANGI – Budaya memberikan janji palsu dan fatwa mengikut selera politik serta amalan rasuah dalam kalangan pemimpin menjadi antara faktor golongan muda berdepan defisit kepercayaan terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keadaan itu membuatkan golongan muda berasa bingung dan memikirkan nasib mereka tidak terbela sekiranya menyokong pimpinan kerajaan yang mengamalkan budaya sedemikian.
“Saya minta kerjasama saudara, tidak harus ada ‘trust defisit’ bagi orang yang cuba membawa perubahan dengan sedaya mereka mengikut ajaran al-Quran. Kita (kerajaan) cuba.
“Saya datang ke sini bukan untuk mengecam membuta tuli tapi saya ada asas yang kukuh. Percayalah negara ini harus diselamatkan. Negara ini tidak harus terkenal sebagai negara dengan pemimpinnya rasuah belaka,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Majlis Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pelajar Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Selasa.