Komplikasi darah tinggi dipercayai menjadi punca kematian seorang jemaah umrah wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 1.10 tengah hari.
“Kejadian berlaku di laluan Gate 12 KLIA untuk pesawat MH8021. Pemeriksaan fizikal tiada kesan yang mencurigakan dan berdasarkan maklumat, mangsa berusia 53 tahun ada menghidap penyakit darah tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang dengan diiring pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) KLIA untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, kisah seorang jemaah wanita yang menghembuskan nafas terakhir sebaik pulang daripada mengerjakan umrah, menjadi tular di media sosial.
Wanita itu dilaporkan rebah dan pengsan sejurus keluar dari pintu pesawat.
Kisah pemergian jemaah tersebut turut dikongsikan pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Amin, menerusi laman Instagram.
“Moga Allah memuliakan Almarhumah Norasiah Alwi. Husnul khatimah. Pemergian yang dicemburui.
“Selagi belum sampai ke rumah, Almarhumah masih berstatus tetamu Allah. Al-Fatihah,” tulis PU Amin.