• Fri. Dec 6th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Jubli Perak 25 tahun ILHAM menabur jasa tarbiyah ahli PAS

Sep 25, 2020 , ,
Spread the love

ALLAHYARHAM Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor, mantan Presiden PAS dalam Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-40 pada 10 Jun 1994 di Rusila, Marang mengemukakan konsep ‘Mengulamakan Profesional dan Memprofesionalkan Ulama’ dalam kalangan ahli parti. Konsep yang dikemukakan itu seiring dengan tema muktamar, ‘Ulama Teras Kepimpinan Ummah’ kemudian disambut baik dengan kelahiran Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM).

ILHAM ditubuhkan pada akhir 1994 oleh Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan (kini Perkaderan) PAS Pusat (LTP) yang ketika itu dipengerusikan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, kini Presiden PAS. Tujuannya untuk memberi kefahaman kepada semua ahli tentang perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Lantas, ILHAM diharap menjadi platform perkaderan, kepemimpinan dan dakwah kepada ulama, aktivis serta profesional PAS secara berstruktur (nizamiyah) melalui silibus pengajian yang syumul.

Kini ILHAM sudah berusia Jubli Perak, melewati 25 tahun menabur jasa. Bermula tahun 1995, ILHAM telah menawarkan pelbagai program pengajian peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan. Antaranya Diploma Tasawwur Islam (DTI), Diploma Kepimpinan Islam (DPI), Diploma Lanjutan Kepimpinan Islam (DLPI), Kursus Kefahaman dan Visi (ILKV), Kursus Pengurusan dan Organisasi (ILPO), Sijil Bahasa Arab serta pelbagai kursus intensif lain.

Kaedah pengajian dibuat secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) pada setiap hujung minggu mengikut semester dan jam kredit yang ditetapkan. Dengan yuran yang sangat minima, pengajian dilaksanakan dengan menggunakan modul yang dikendalikan oleh pensyarah-pensyarah universiti tempatan yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Sehingga kini program DTI dan DLPI masih ditawarkan, selain penawaran program baharu, iaitu Sijil Asas Kefahaman Islam yang disediakan khusus untuk ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). Semua program tersebut dilaksanakan di pusat pengajian ILHAM Pusat di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar yang kini dijadikan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM). Selain itu, program DTI turut ditawarkan di ILHAM cawangan negeri-negeri bagi memberi kemudahan kepada ahli akar umbi untuk mengikuti pengajiannya.

Antara modul pengajian yang disediakan untuk DTI adalah akidah, ulum al-Quran, hadith, fiqh, politik, ekonomi, pendidikan, akhlak serta sejarah dan tamadun Islam. Modul untuk DLPI pula antaranya fiqh dakwah, jihad, sirah, siyasah syar’iyah, kepimpinan, pentadbiran awam, komunikasi, pengurusan strategik dan gerakan Islam.

Bagi ahli DHPP yang bukan Islam, ILHAM melebarkan ilmu dengan menyediakan empat modul khas berkaitan Islam dan hubungannya dengan kehidupan bermasyarakat, politik pentadbiran, perundangan serta persefahaman antara agama. Kelas pertama kursus ini diadakan pada 7 Januari 2017 dengan 12 pelajar sulung yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kuasa DHPP Pusat. Setiap hujung minggu mereka mengikuti kelas selama dua semester dengan peruntukan 48 jam kredit.

ILHAM kini sedang membuat persiapan untuk majlis konvokesyen graduan kali ke-14. Sebelum ini dianggarkan lebih 1000 pelajar telah berjaya bergraduasi setelah menamatkan kursus diploma ILHAM. Sebahagian besarnya adalah pengerak-pengerak parti yang tiada henti berbakti pada masyarakat awam, malah ada antaranya telah menjadi Ahli Dewan di Parlimen serta Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Melihat jasa ILHAM yang besar terhadap parti, Senator Ustaz Idris Ahmad selaku Pengerusi LTP dalam Ucapan Penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-66 di Kelantan baru-baru ini melahirkan harapan agar penyertaan ke kursus pengajian ILHAM adalah salah satu prasyarat untuk memegang jawatan lantikan politik, terutama kepada mereka yang tidak mengikuti pengajian Islam secara formal.

Selaras dengan itu, Dr. Asiah Ali Pengarah ILHAM Pusat menyeru semua ahli PAS terutamanya petugas parti mara ke depan mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan. Selain itu, pengurusan PAS di setiap peringkat – dewan, negeri, kawasan mahupun cawangan-cawangan – disyorkan menaja sekurang-kurangnya seorang calon pelajar pada setiap semester untuk mengikuti diploma ILHAM. Ini bagi melengkapkan petugas masing-masing dengan kefahaman Islam yang mantap dalam menggerakkan organisasi dan aktiviti parti.

Selain itu, pihak ILHAM turut mempelawa semua penyelidik dan pelajar untuk menjalankan penyelidikan berkaitan ILHAM dari segi sejarah, sumbangan, tokoh dan sebagainya. Penyelidikan tersebut meliputi peringkat Sarjana Muda (Kertas Projek Tahun Akhir), Sarjana ataupun Kedoktoran PhD sama ada di Universiti Awam atau swasta, dalam mahupun di luar negara.

Justeru, penyelidik atau pelajar yang berminat bolehlah berbincang berkaitan perancangan awal atau proposal bersama pihak ILHAM Pusat dengan menghubungi 019266723 (Pn. Jamilah).

Dr Nabila Din

Shah Alam

23 September 2020, 8.30am