• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Judi bercanggah dengan rukun negara – PAS Perak

Jan 6, 2023
Spread the love

PAS Perak mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah yang bertegas dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat dengan mengharamkan perjudian di negeri tersebut. Tahniah juga kepada pengundi yang menjadikan impian tersebut satu kenyataan dengan mengundi PAS dalam PRU 14.

Perjudian adalah sesuatu yang diharamkan oleh islam. Tiada satu agama pun yang mengizinkan judi kepada penganutnya. Malaysia yang berpegang dengan prinsip dan rukunegara kepercayaan kepada tuhan tentunya mahukan rakyatnya menjadi penganut agama yang taat. Ia tidak sama sekali menghalang kebebasan beragama sebaliknya bersifat memperteguhkan pegangan agama rakyat Malaysia.

Judi adalah penyakit masyarakat. Ia adalah candu yang menjadikan penagihnya hilang kawalan. Banyak laporan kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat angkara judi. Kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat mesti menyelesaikan masalah ini. Sebagai parti berteraskan prinsip islam dan bermatlamat mengislahkan masyarakat, PAS telah melaksanakan peranan tersebut dengan mengharamkan judi di negeri yang diperintah.

Pandangan yang menyatakan tindakan menutup premis judi ini sebagai menghalang hak asasi manusia adalah bercanggah dengan prinsip rukunegara kerana Malaysia menolak hak kebebasan yang bercanggah dengan nilai agama seperti judi dan LGBT.

PAS Perak menyokong penuh usaha ini dan yakin Kedah akan bertambah makmur dan dilimpahi rezki sebagaimana dijanjikan Allah dalam surah al A’raf ayat 96 bermaksud ” Jika beriman penduduk sesuatu negeri dan bertakwa nescaya kami buka pintu keberkatan langit dan bumi”.

YB HJ RAZMAN BIN ZAKARIA
PESURUHJAYA PAS PERAK.

Razman Zakaria