Jumlah korban dalam tragedi gempa bumi kuat di Turkiye terus meningkat dengan setakat ini seramai 20,318 orang dilaporkan terkorban manakala lebih 80,000 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik agensi bencana negara itu pada Jumaat.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang melanda pada Isnin itu berpusat di wilayah Kahramanmaras yang menjejaskan lebih 13 juta penduduk di 10 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.
Beberapa negara di rantau itu termasuk Syria dan Lubnan turut merasakan gegaran.
Usaha mencari dan menyelamat (SAR) berterusan dan pasukan penyelamat masih menemukan mangsa yang terselamat beberapa hari selepas SAR dijalankan.
Terkini, seorang lelaki yang berusia 34 tahun ditemukan hidup selepas 117 jam gempa bumi melanda Kahramanmaras.
- Bernama