• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kaitkan judi: PM perlu mohon maaf kepada PN

Jan 3, 2023 ,
Spread the love

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan PN dengan syarikat perjudian.

Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, dakwaan Anwar yang mengatakan PN bersekongkol dengan premis perjudian demi mendapatkan tajaan adalah tidak benar.

“Beliau (Anwar) perlu memohon maaf kerana terbukti apa yang dikatakan tidak benar kerana PN tidak pernah terbabit meminta tajaan syarikat perjudian untuk membiayai parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri Kedah menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Mahathir berkata, tindakan Perdana Menteri mendakwa dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi sebelum ini adalah satu pembohongan.

“PN mendesak supaya Perdana Menteri dapat membuat permohonan maaf secara terbuka kerana ia melibatkan maruah dan reputasi PN yang wujud hasil gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

“Sekarang terbukti PN yang membawa imej Islam dalam pentadbirannya tidak mustahil untuk menghentikan lesen pusat perjudian dan loteri, dan ia boleh dilakukan di peringkat nasional,” katanya.

“Perkara ini telah disepakati antara Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannnya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Islam akan menjadi corak pemerintahannya,” ujarnya,

Anwar menerusi kenyataannya sebelum ini membayangkan sebahagian dana pilihan raya untuk parti Melayu dan parti Islam datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Kata Anwar, Kementerian Kewangan juga mendapati ‘pelanggaran’ dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender yang dikatakan berlaku semasa era kerajaan PN.

Pada Ahad media melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya pada 1 Januari 2023, susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.