• Tue. Sep 26th, 2023

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Kalau Melayu angkuh, kaum lain tiada di Malaysia” NGO tempelak PMX

Apr 7, 2023
Spread the love

Gagasan Bangsa – pertubuhan yang menghimpunkan badan bukan parti politik Malaysia – menempelak peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya orang melayu Islam tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kaum lain.

Jurucakapnya, Aminuddin Yahaya berkata pertubuhan itu menyifatkan kenyataan Anwar sangat mengejutkan dan tidak tidak menyangka sama sekali ia boleh terkeluar dari mulut seorang pemimpin Melayu, apatah lagi Perdana Menteri.

Mengatakan bahawa kenyataan seperti itu menghina bangsa Melayu, beliau berkata Anwar memberi gambaran yang tidak tepat terhadap sikap orang Melayu Islam.

“Kalaulah benar Melayu ini angkuh dan tidak melayan bangsa lain dengan baik, saya rasa sudah lama bangsa lain tidak wujud di negara ini.

“Beliau yang baru sahaja melawat negara Kemboja menggesa agar orang Melayu Islam mencontohi rakyat negara itu yang majoriti beragama Buddha begitu menghormati minoriti muslim di sana.

“Yang menyedihkan, beliau memberikan contoh kerajaan Kemboja mengadakan majlis iftar dan ada melantik menteri di kalangan bukan Islam.

“Apakah beliau lupa bahawa negara telah melantik pemimpin bangsa lain didalam Kabinet semenjak merdeka lagi? Malah, sampai jawatan-jawatan kementerian tertentu sudah jadi ‘kuota’ atau ‘tradisi’ buat wakil parti bukan Melayu dan Islam tertentu sejak berpuluhan tahun lamanya.

“Malah, di kawasan penduduk Melayu pun ramai bukan Islam menang sebagai wakil rakyat, dengan sokongan dan dukungan padu pemimpin-pemimpin politik Melayu… Dan walaupun individu tersebut sudah terbukti rasis dan anti-Melayu Islam,” katanya.

Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan pada 4 April lalu, mengingatkan orang Melayu Islam sebagai kaum majoriti di negara ini tidak berasa begitu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.

Menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke Kemboja baru-baru ini, Anwar berkata beliau melihat sendiri bagaimana umat Islam minoriti di negara berkenaan dilayan.

“Saya iftar anjuran Perdana Menteri Kemboja bersama 6,000 umat Islam di sana. Umat islam di Kemboja hanya 10 peratus dan apabila diberi penghormatan, beri ucapan dan ke masjid di sana, saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti (beragama) Buddha memberi dan meraikan kumpulan minoriti umat Islam dengan iftar dan beberapa ruang lain termasuk (melantik) menteri, seorang Muslim.

“Itu sebagai pengajaran, kadang-kadang kita yang majoriti (ini) rasa terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap tidak boleh meraikan kelompok (minoriti) lain dan ini bukan dianjurkan dalam pengajaran pedoman Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Berkaitan iftar yang dianjurkan oleh kerajaan Kemboja, Aminuddin berkata bukankah memang kerajaan Malaysia sudah lama turut merayakan perayaan agama dan kaum selain Islam dan Melayu?

“Atau apakah tidak cukup sampaikan selepas ini kerajaan perlu mengadakannya di gereja, kuil dan tokong? Jadi di mana hujah yang memalitkan naratif ‘keangkuhan’ orang Melayu Islam? Apa motif sebenar PMX membuat kenyataan yang begitu menyinggungkan ini?

“Jika beginilah sikap dan pemikiran kerajaan terhadap orang Melayu, saya boleh katakan masa depan Melayu sangat gelap malah mungkin akan terhapus secara hakiki walaupun mereka masih wujud secara fizikal.

“Kita sudah terlalu, malah terlebih toleransi dah. Itu pun masih kena tohmah macam-macam. Aduhai, malangnya bangsaku,” katanya.