• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kalimah Allah: Harga sebuah kuasa buat UMNO

May 16, 2023
Spread the love

Hujung minggu yang lalu kita baru sahaja melihat UMNO dengan secara terbukanya membawa DAP (musuh tradisi politik orang Melayu) ke bangunan PWTC disamping peristiwa bendera-bendera Malaysia yang bertebaran di atas lantai.

Hari ini kita dikejutkan pula dengan berita keputusan Kerajaan Madani menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan seorang wanita Kristian menggunakan kalimah Allah pada 18 April 2023.

Sedangkan, pimpinan UMNO antara yang paling bertegas dalam isu Kalimah Allah ini sehinggakan mereka terkhilaf memahami penerangan secara akademik yang dibuat oleh Tan Sri Presiden PAS.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 13 Januari 2013 juga telah membuat keputusan bahawa, “menterjemahkan kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah”.

UMNO juga dilihat terus konsisten tegas dalam isu ini ketika bermuafakat dengan PAS melalui Muafakat Nasional.

“MN mahu menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.

“Mesyuarat MN malam ini menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ini ke Mahkamah Rayuan,” – Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional, 2021

Pada masa yang sama KDYMM Sultan Johor dan KDYMM Sultan Selangor juga telah menitahkan Kerajaan Persekutuan untuk membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi dalam isu ini.

Namun, apa berlaku kepada UMNO pada hari ini? Selepas menipu orang Melayu tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Anwar, kini UMNO tergamak menggadai prinsip perjuangan termasuk dalam isu Kalimah Allah.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, “Dalam kes ini, kalau tidak silap saya, ini adalah saranan dan pendirian yang diambil oleh KDN dan saya maklumkan kepada Kabinet dan saya telah lakukannya beberapa bulan lalu”.

Apa peranan pimpinan UMNO dalam Kabinet Ketika itu? Adakah pimpinan UMNO yang berada dalam kerajaan pada hari ini benar-benar tidak akan berjuang demi Melayu dan Islam selepas bekerjasama dengan DAP dan Anwar? Adakah ini harga yang perlu dibayar oleh pimpinan-pimpinan UMNO demi mengekalkan kuasa mereka?

Maka kita tahu mengapa mereka tutup gambar semua muka-muka bekas Presiden UMNO dalam program hujung minggu yang lalu. Kini, pimpinan UMNO hanya berjuang untuk kuasa. Mereka tidak berjuang untuk Islam dan Melayu.

Masa UMNO telah sampai ke garisan penamat.

Sekian

USTAZ RAZIB ABDUL RAHIM
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang

Bertarikh : 16 Mei 2023