• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kalimah Allah: Individu sokong digunakan penganut lain perlu bertanggungjawab

Spread the love

KALIMAH ALLAH: INDIVIDU YANG MENYOKONG PENGGUNAANNYA OLEH PENGANUT AGAMA LAIN PERLU BERTANGGUNGJAWAB

  1. Polemik penggunaan kalimah Allah dilihat masih lagi berlanjutan ekoran tindakan kerajaan campuran yang diketuai oleh Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik semula kes rayuan tersebut pada 18 April 2023 lalu. Isu yang melibatkan sensitiviti agama ini masih lagi hangat diperkata dan diperdebatkan seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Hatta ia turut dibawa oleh Ahli-ahli Parlimen dari blok Perikatan Nasional (PN) ke dalam Dewan Rakyat pada sidang kali ini.
  2. Rakyat Malaysia perlu menyedari bahawa isu penggunaan kalimah Allah ini bukan isu politik semata-mata, namun ia isu akidah yang merentasi latarbelakang politik kepartian di negara ini. Lebih-lebih lagi apabila umat Islam hari ini terpaksa menangkis dan berperang dengan aliran pemikiran yang memperbodoh menyesatkan umat Islam.
  3. Namun malangnya di Malaysia, agenda penggunaan kalimah Allah oleh agama lain disokong oleh YB Syahredzan Johan yang kini Ahli Parlimen Bangi serta YB Dr Aziz Bari, ADUN Tebing Tinggi, kedua-duanya dari parti DAP, dan berbangsa Melayu dan beragama Islam, yang telah memfailkan afidavit tersebut sebelum ini. Individu – individu yang terlibat ini perlu bertanggungjawab atas tindakan menyokong kalimah Allah dibolehkan penggunaannya untuk penganut Kristian.
  4. Amat malang sekali kerajaan campuran BN-PH yang mentadbir negara ini tidak menghiraukan kekacauan dan sensitiviti yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Kerajaan sendiri. Turut dikesalkan adalah terdapat dua individu lain yang bersama-sama dalam usaha mengelirukan dan memperjudikan kalimah Allah untuk digunakan sewenang-wenangnya oleh penganut agama lain.
  5. Umat Islam di negara ini khususnya Selangor perlu mengambil iktibar agar tidak bermudahan dalam memilih individu seperti ini untuk menjadi pemimpin masyarakat mahupun negara. Ayuh kita buktikan pada Pilihanraya Negeri (PRN) yang akan tiba untuk kita mengubah landskap politik negara yang lebih aman dan harmoni tanpa timbulnya isu agama dan perkauman.

USTAZ SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Selangor

Bertarikh: 25 Mei 2023