KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa orang miskin boleh dipergunakan untuk melakukan demonstrasi, sebagai tuduhan melulu tanpa fakta.
Ahli Parlimen Pasir Mas yang menyelar tindakan Anwar itu, turut menzahirkan simpati terhadap nasib rakyat miskin yang didakwa dihina seperti tiada maruah.
“Rakyat miskin manakah yang dikatakan diupah untuk berhimpun jatuhkan kerajaan itu? Kasihan rakyat miskin, dihina seolah-olah tiada maruah.
“Sekali lagi, tuduhan tanpa data dan fakta. Lumrah Kerajaan Madani,” katanya menerusi Facebook.
Baru- baru ini, Perdana Menteri mendakwa terdapat usaha pihak yang kehilangan kuasa untuk menggunakan situasi semasa bagi mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.
Anwar berkata, pihak berkenaan berkenaan juga akan menggunakan rakyat miskin bagi menimbulkan suasana tidak harmoni.
“Saya telah arahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang terdesak dan tercabar, akan menggunakan sentimen ini dan rakyat yang miskin akan diupah untuk menimbulkan apa-apa juga kekacauan,” katanya.
Kenyataan Anwar itu turut dikritik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana ia dilihat sebagai satu bentuk penghinaan kepada rakyat miskin negara ini.