• Sat. Oct 8th, 2022

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Ke arah merealisasikan Malaysia sejahtera, kebajikan, telus, bebas rasuah

Sep 20, 2022
Spread the love

RISALAH PENERANGAN

KE ARAH MEREALISASIKAN MALAYSIA SEJAHTERA, BERKEBAJIKAN, TELUS DAN BEBAS RASUAH.

Firman Allah SWT :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُوْنُوْا قَوَّامِيْنَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاۤءَ لِلّٰهِ وَلَوْ عَلٰٓى اَنْفُسِكُمْ اَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْاَقْرَبِيْنَ ۚ اِنْ يَّكُنْ غَنِيًّا اَوْ فَقِيْرًا فَاللّٰهُ اَوْلٰى بِهِمَاۗ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوٰٓى اَنْ تَعْدِلُوْا ۚ وَاِنْ تَلْوٗٓا اَوْ تُعْرِضُوْا فَاِنَّ اللّٰهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرًا.

Mafhumnya : “Wahai orang-orang yang beriman, Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. (Sama ada) Jika dia (yang didakwa) kaya atau pun miskin, maka Allah lebih tahu keadaan kedua-duanya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu supaya tidak menyeleweng dari kebenaran (yang kaya dan berpengaruh dibebaskan, yang miskin dan marhain dihukum). Dan jika kamu memutarbelitkan (keterangan) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Maha Terperinci Pengetahuan-Nya terhadap segala apa yang kamu kerjakan”.

Surah An-Nisa : 135

Ayat di atas menjelaskan sebahagian daripada prinsip-prinsip yang terdapat di dalam Islam iaitu adil, telus, berintegriti, berkebajikan dan bebas rasuah.

Prinsip-prinsip ini adalah bagi membuktikan dan menjamin kestabilan yang menyeluruh kepada semua pihak.

Ianya terbukti pada zaman kegemilangan pemerintahan Islam berkurun lamanya di mana pemerintah Islam yang bertakwa kepada Allah akan sentiasa prihatin dan mengambil cakna dengan masalah yang menimpa rakyatnya.

Sistem Kehakiman Negara yang telus diperkenalkan tanpa memilih bulu dan kluster. Hakim berhak menjatuhkan hukuman berdasarkan bukti pendakwaan dan hujah pertuduhan yang jelas. Tiada campur tangan daripada pihak pemerintah untuk membatalkan hukuman dan seumpamanya kerana sifat takwa dan amanah yang ada pada pemimpin.

Kebajikan rakyat diberikan keutamaan berdasarkan polisi yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan. Kestabilan negara menjadi keutamaan dengan memupuk ke arah perpaduan dan penyatuan ummah yang menyeluruh.

Pengurusan ekonomi yang mengambil kira halal dan haram diperkenalkan untuk mendidik rakyat mendekatkan diri kepada Allah. Semua aktiviti hidup dibina di atas dasar ubudiah ( kerja sebagai satu ibadah), takwa dan telus.

Pendidikan yang bukan hanya memfokuskan kepada pembinaan pengetahuan dan kemahiran untuk pasaran pekerjaan semata-mata, namun ianya juga menitikberatkan pembinaan syaksiah dan jati diri (akhlak) yang unggul kepada generasi pewaris agama, bangsa dan negara.

Justeru dalam merealisasikan matlamat dan hala tuju ini, Keluarga Malaysia perlu memberikan kepercayaan yang kukuh kepada kerajaan yang memperjuangkan ketelusan dan berintegriti. Ianya dapat dibuktikan dengan pengurusan sifar rasuah di Negeri Kelantan sejak lebih 30 tahun dahulu. Begitu juga di Negeri Terengganu dan Negeri Kedah. Ianya hasil tarbiyah rohaniah dan takwa kepada Allah.

‘Malaysia Sejahtera’

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.

23 Safar 1444
20 September 2022