• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kebiadap Ngeh Koo Ham perlu tindakan tegas – Ustaz Sukri Omar

Jan 4, 2024
Spread the love

KENYATAAN MEDIA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

3 JANUARI 2024 | 21 JAMADILAKHIR 1445H

  1. Pemuda PAS Malaysia mengambil maklum berkenaan permohonan maaf yang telah dibuat oleh Ngeh Koo Ham berhubung cadangan biadab beliau yang dilihat mempersoalkan peranan Institusi Kesultanan dan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal berkaitan agama Islam di Malaysia.
  2. Meskipun permohonan maaf telah dibuat, permohonan maaf ini tidak dilihat ikhlas dan boleh dipersoalkan memandangkan ini bukanlah kali pertama Ngeh Koo Ham serta pemimpin DAP lain mengeluarkan kenyataan yang sengaja menyentuh hal sensitiviti umat Islam.
  3. Siri-siri tindakan oleh pemimpin DAP ini secara jelas cuba memperlecehkan kedudukan Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta realiti demografi negara yang merupakan terdiri daripada majoriti umat Islam.
  4. Melihatkan respon kepimpinan DAP yang amat lemah terhadap kesalahan Ngeh Koo Ham ini, maka kami mempersoalkan pendirian sebenar parti DAP berkenaan isu ini. Tindakan Ngeh Koo Ham bukanlah sekadar terkhilaf sepertimana cuba digambarkan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
  5. Tidak mustahil tindakan Ngeh Koo Ham adalah satu manifestasi pendirian sebenar DAP terhadap isu ini memandangkan tiada tindakan tegas dikenakan terhadap Ngeh Koo Ham sementelah berkali-kali kesalahan seperti ini diulang.
  6. Jika benar DAP adalah sebuah parti yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta sistem Raja Berpelembagaan yang menjadi terasnya, kami menuntut perkara-perkara berikut untuk dilaksanakan oleh kepimpinan DAP.

i) Permohonan maaf secara rasmi daripada parti DAP terhadap siri-siri keceluparan barisan kepimpinan DAP terhadap isu-isu sensitif umat Islam.

ii) Tindakan disiplin parti DAP terhadap Ngeh Koo Ham sebagai tanda keseriusan DAP menyatakan pendirian bahawa tindakan Ngeh Koo Ham itu adalah atas kapasiti peribadi beliau sahaja.

iii) Ngeh Koo Ham meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Beruas melihatkan kebiadaban yang nyata terhadap institusi Kesultanan yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam di negara Malaysia.

  1. Pemuda PAS Malaysia turut menggesa kepada pihak berkuasa agar membuka kertas siasatan terhadap Ngeh Koo Ham memandangkan ratusan laporan polis telah dibuat oleh rakyat Malaysia di seluruh Malaysia atas keceluparan Ngeh Koo Ham.

Ustaz Mohamed Sukri Omar
Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor