Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin mengesahkan beliau keluar parti dan akan menyertai PAS, tidak sampai sebulan selepas parti teraju Barisan Nasional (BN) itu menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan.
“Belum ada apa-apa kenyataan daripada saya. Majlis penyerahan borang akan dibuat pada Sabtu ini bersekali dengan sidang media,” katanya.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memilih untuk bekerjasama dengan gabungan musuh politiknya, Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP bagi membentuk kerajaan campuran, setelah tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah.
Keputusan tersebut ditentang pemimpin akar umbi UMNO, dan beberapa pemimpin MCA dan MIC, di mana mereka berkata ia dibuat oleh Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi tanpa sebarang rundingan dengan mereka.
Penentangan terhadap keputusan tersebut kerana ia bercanggah dengan keputusan perhimpunan agung UMNO yang tidak mahu sebarang kerjasama dijalinkan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan DAP.
Bagaimanapun, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kerajaan campuran berjaya dibentuk oleh Anwar di mana gabungan dari Sarawak dan Sabah turut memberikan sokongan kepada Anwar setelah sebelumnya menyokong calon Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Manakala 10 ahli Parlimen BN yang menyatakan penolakan mereka terhadap keputusan itu turut mendiamkan diri selepas Kabinet baru dibentuk.
Sebelum ini Zool Amali lantang menentang keputusan BN untuk meletakkan calon MCA di kerusi Seremban menentang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Beliau bertegas supaya Umno meletakkan Khairy Jamaluddin bagi menentang pemimpin DAP tersebut, namun bekas ahli Parlimen Rembau itu dicalonkan bertanding di kubu kuat PH di Sungai Buloh yang menyaksikan kekalahannya kepada calon PKR R Ramanan.
TENKIU