• Fri. Oct 11th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kedudukan PM dalam gara-gara lantik anak jadi Penasihat

Jan 31, 2023
Spread the love

Keputusan Anwar Ibrahim melantik anak perempuannya Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi dan kewangan meletakkan perdana menteri itu dalam “kedudukan bahaya”, menurut Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Timbalan ketua pegawai eksekutifnya K Sudhagaran Stanley menyifatkan langkah itu sebagai amalan nepotisme dan berlaku konflik kepentingan.

“Peranan (Izzah) sebagai pro-bono (tak dibayar gaji) adalah tidak relevan. Ia mengenai nepotisme, dan lebih penting lagi isu konflik kepentingan.

“Ini boleh meletakkan PM dalam kedudukan yang sukar dan bahaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Stanley berkata terdapat kebimbangan bahawa Anwar tersilap langkah dengan melantik ahli keluarga untuk mengisi jawatan penting.

“Terdapat harapan yang tinggi terhadap perdana menteri itu. Dia harus memimpin dan menetapkan standard tadbir urus yang tinggi.

“Menteri lain mungkin akan melakukan perkara yang sama dengan melantik anak perempuan atau ahli keluarga mereka untuk mengetuai portfolio penting. Bagaimana kita dapat mengawal perkara ini?

“Ini pastinya bukan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.

Nurul Izzah menerima kritikan hebat selepas pelantikan itu didedahkannya semasa temubual dengan The Star.

Selaku ahli politik, Izzah pernah menjadi ahli parlimen selama tiga penggal.

Pada 2008 dia dipilih sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai pada usia 28 tahun.

Namun, sewaktu pilihan raya umum ke-15, dia gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh.

Walaupun Anwar mengesahkan bahawa bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu akan melakukan tugasan tersebut tanpa dibayar elaun, keputusan itu mendapat kritikan daripada kedua-dua belah pihak dalam parti mahupun lawan .

Antara yang mengkritiknya termasuk ketua pembangkang Hamzah Zainudin yang menggesa Anwar menarik balik pelantikan itu, serta mendakwa ia bertentangan dengan prinsip tadbir urus yang baik, integriti dan antirasuah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim pula menyifatkan tindakan melantik Nurul Izzah sebagai salah dari segi moral.

Sementara itu, Stanley mempersoalkan keperluan pelantikan Nurul Izzah, memandangkan sudah ada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam kabinet Anwar.

“Bukankan akan terdapat konflik di sini atau satu pertindihan tugas?

“Cadangan siapa yang perdana menteri akan dengar? Anak perempuannya atau menteri ekonomi? Inilah masalahnya di sini,” katanya.

Dia kemudian mempersoalkan mengapa pelantikan Izzah yang berkuat kuasa 3 Jan, hanya diumumkan semalam.

Menurut Stanley, Anwar sebagai pemimpin utama dalam kerajaan mesti menunjukkan contoh yang baik kepada orang bawahannya.

“Kerajaan mesti segera memulakan reformasi dan ini mesti bermula dari atas.

“Perlu ada isyarat jelas bahawa mereka serius terhadap reformasi. Dengan melantik ahli keluarga, penjawat awam tidak akan yakin bahawa kerajaan ini serius dalam agenda reformasi dan ia hanya memberikan isyarat yang membimbangkan.

“Setiap tindakan yang diambil oleh pemimpin utama di peringkat atasan mestilah mempunyai standard tadbir urus yang tinggi dan memberikan keyakinan kepada orang ramai secara keseluruhannya,” katanya.

Dia menggesa agar ketelusan dalam proses pelantikan politik dengan pemilihan yang hanya mengikut contoh amalan terbaik.

“Kelayakan, permohonan dan proses pemilihan perlu didedahkan kepada umum dan telus supaya individu yang berminat, berpeluang memohon jawatan itu,” katanya.

Jika Anwar mahukan individu yang paling layak memegang jawatan itu, ruang perlu dibuka kepada orang ramai memohon jawatan tersebut, kata Stanley.

“Bagaimana kita boleh yakin bahawa Izzah adalah orang yang paling layak dipilih untuk tugas itu?

“Apakah penanda aras yang kita letakkan di sini?” soalnya. MK