• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kegagalan sistem teknikal, muatan tak stabil mungkin antara punca nahas pesawat

Aug 18, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Hilang kawalan, muatan tidak stabil, kerosakan satu enjin atau kegagalan sistem teknikal antara punca menyebabkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam.

Hal itu juga mungkin menyebabkan juruterbang tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas, sekali gus memberi gambaran nahas berlaku secara mendadak.

Bekas Ketua Juruterbang Serantau MAS (Malaysia Airlines), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata faktor ‘windshear’ atau perubahan mendadak arah angin yang menyebabkan pertambahan beban struktur dinamik pada pesawat juga sangat tipis berlaku.

“Namun kemungkinan kejadian aneh (freak occurance) tidak boleh ditolak, walaupun cuaca ketika kejadian dilaporkan terang, udara stabil dan jarak penglihatan lebih 10 kilometer.

“Isu pesawat kehabisan minyak juga tidak timbul dan ini boleh disahkan dari log di Langkawi. Ini kerana letupan dan kebakaran selepas pesawat terhempas, bermakna ia masih mempunyai bahan bakar mencukupi untuk mendarat,” katanya kepada BH, hari ini.

Nik Ahmad Huzlan berkata, keadaan menjadi sangat berbahaya sekiranya juruterbang hilang kawalan penerbangan tanpa sebarang sebab ketika pesawat terbang rendah.

“Difahamkan, pesawat terhempas dua minit selepas dapat kebenaran mendarat dan secara lumrahnya kebenaran itu diberi dalam tujuh hingga 10 kilometer dari landasan.

“Ini bermakna pesawat dalam ketinggian antara 1,500 hingga 3,000 kaki ketika kejadian hilang kawalan atau dalam tiga hingga lima minit sebelum mendarat.

“Jika ia hilang kawalan ketika berada pada aras 20,000 kaki, juruterbang masih mempunyai masa membetulkan keadaan dan berhubung dengan Pusat Kawalan Trafik Udara.

“Namun dalam kejadian ini, ketinggian pesawat pada altitud rendah dan laungan kecemasan, ‘Mayday’ juga tiada. Rakaman video menunjukkan haluan junam maut, tidak terkawal, terus impak ke bumi dan terbakar,” katanya.

Impak ‘vertical’ atau menegak juga jelas berikutan pesawat berkecai dalam kawasan sekitar 0.4 atau 0.8 hektar.

“Namun banyak isu teknikal lain juga boleh menyebabkan nahas berlaku, antaranya imbangan kerosakan satu enjin, kegagalan kawalan permukaan (alat kemudi kepak), ‘reverser unstowed’ dan lain lain. Malah masih belum jelas jika bahagian tayar pendaratan (undercarriage) sudah atau belum dikeluarkan.

“Penjelasan akan dapat dibuat apabila kotak hitam berwarna oren ditemui dan diterjemahkan,” katanya.

Keadaan sebenar dapat diperhalusi tanpa teragak-agak mengenai situasi kawalan pesawat dan juga percakapan juruterbang dan pemandu juruterbang ketika kejadian.

“Dalam pada itu, isu ‘berat dan keseimbangan’ sebelum terbang, pasti sudah dibuat dan perkara ini perlu diperhalusi dalam siasatan kerana pesawat terbabit membawa muatan maksimum, enam penumpang dan dua kru penerbangan,” katanya.

“Pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semua berpengetahuan, berpengalaman dan bertauliah. Tetapi difahamkan pesawat tidak dipasang Perakam Data Penerbangan (FDR), hanya alat perakam suara kokpit (CVR).

“Ini akan merumitkan siasatan dan hanya CVR yang merakam suara dan bunyi dalaman semasa penerbangan yang dapat memberi gambaran.

“Data pesawat seperti rajah penerbangan, haluan, kelajuan, altitud dan lain-lain semua tiada tanpa FDR. Ini akan merumitkan penyiasat mengenal pasti punca kejadian dari sudut teknikal dengan tepat,” katanya sambil memaklumkan FDR dan CVR diwajibkan untuk pesawat penumpang, namun tidak dapat dipastikan untuk pesawat persendirian.- Buletin TV3