KELANGSUNGAN MENU RAHMAH: APA SOLUSI KERAJAAN?
Genap 20 hari Menu Rahmah diperkenalkan.
Pelbagai maklum balas telah diterima. Ia pastinya satu inisiatif yang baik bagi membantu golongan yang terkesan.
Namun, makin besar periuk, besarlah keraknya.
Memandangkan Menu Rahmah ini tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan, maka ia ditanggung sepenuhnya oleh peniaga termasuk kos bahan mentah dan kos operasi.
Dan terkini, kerajaan memaklumkan bahawa tiada subsidi akan diberikan bagi mengekalkan Menu Rahmah walaupun kos bahan mentah meningkat.
Dalam 20 hari ini, ramai peniaga telah memberi respons.
Kenyataan Ketua Pengarah Urusan Mydin bahawa Menu Rahmah ini akan bertahan selama 3 bulan sahaja kalau harga barang mentah tidak dipantau adalah hakikat sebenar yang perlu diterima.
Sedangkan restoran dan peniaga besar pun sukar menampung kos bahan mentah yang melambung tinggi, apatah lagi peniaga kecil.
Inilah yang dibangkitkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, YB Fadhli Shaari dan YB Mastura Mohamad di dalam Parlimen.
Peniaga tidak akan mampu meneruskan Menu Rahmah ini jika kos bahan mentah terus meningkat.
Begitu juga tentang food security dan health security yang dibangkitkan oleh YB Dr. Halimah Ali. Tekanan ekonomi yang dialami peniaga akan memberi kesan kepada kualiti makanan yang disediakan.
Malangnya kerisauan-kerisauan ini dimanipulasi oleh penyokong PH-BN untuk mengalih perhatian masyarakat daripada melihat masalah yang sebenar.
Tahniah kepada 15,000 restoran yang menyertai insiatif ini. Terima kasih kerana berjiwa murni untuk membantu golongan yang memerlukan.
Tapi apa usaha kerajaan? Apa solusi jangka masa panjang kerajaan bagi mengatasi masalah kos sara hidup rakyat?
Kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada polisi dan bukan program bagi membolehkan semua peniaga menikmati pembelian barangan asas berkualiti serta murah.
Pihak pembangkang pastinya berbesar hati untuk menyokong jika kerajaan melaksanakan polisi yang boleh membantu rakyat dan bukannya bersikap populis seperti sekarang.
NAZIR HELMI
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia