KESUNGGUHAN dilihat telah menjadi satu iltizam, jati diri, budaya dan tindakan dalam kalangan warga rakyat, para pemimpin serta Kerajaan Negeri Kelantan.
Di bumi Serambi Makkah, Che Siti Wan Kembang juga Tanah Serendah Sekebun Bunga ini, kesungguhan bukan sahaja telah dipahat dalam sejarahnya dan ditinggikan kepada kehidupan semasa, bahkan sedang menerobos masa depan.
Kelantan tidak alpa meninggalkan kenangan nostalgia lampau yang berlalu, tidak mengambil mudah meniti zaman terkini dan tidak hanya berangan meneroka futuristiknya.
Tamadun dibangun majukan Kelantan bukan untuk mencipta kesombongan kasta, jauh sekali menindas, tetapi meletakkan maruah dan kemakmuran untuk dikongsi dan diteladani semua.
- Rakyat Kelantan menunjukkan kesungguhan mereka menolak sepenuhnya Umno dan menukar Kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila memilih PAS dan S46 yang membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada PRU tahun 1990. Umno-BN hilang semua 39 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen dalam Negeri Kelantan. Ia kesungguhan rakyat untuk melihat Islam didaulatkan dalam pemerintahan kepimpinan pentadbiran kerajaan. Sekali gus rakyat menyingkirkan segala angkara ‘permainan politik, rusuhan ganas dan pengisytiharan darurat’ yang dicetuskan sejak tahun 1977.
- Teguh bersama Kepimpinan Ulamak dan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, rakyat Kelantan membuktikan kesungguhan mereka apabila mempertahankan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah teraju PAS sejak tahun 1990 sehingga ke hari ini. Walaupun dianaktiri, disekat, ditekan dan didiskriminasikan dari hak sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN, rakyat kekal bersolidariti kepada PAS untuk menerajui negeri. Malah, rakyat meninggikan maruah negeri menjadikan Kelantan sebagai guru dan contoh serta universiti politik.
- Biar sering diejek dan dipropagandakan dengan imej miskin dan mundur, rakyat Kelantan menyerlahkan diri sebagai perantau yang hebat dalam membangun dan menghidupkan ilmu, pengurusan, sosial dan ekonomi. Rakyat Kelantan ramai berada di seluruh pelosok negara dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta, institusi-institusi pengajian tinggi, premis-premis perniagaan dan jualan serta kawasan-kawasan perumahan atau kediaman. Setiap sektor, bagaikan tidak lengkap dan tidak maju tanpa adanya kesungguhan ‘ore Kelate’.
- Kerajaan Kelantan biarpun dikekang terutama dari keadilan pembahagian peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan, namun para pemimpinnya penuh kesungguhan membangun serta memajukan negeri dan rakyat. Pelbagai projek infrastruktur negeri dan keperluan rakyat dibatalkan sejak tahun 1990, tetapi pemimpin kerajaan memacu usaha sedaya mampu sendirinya. Kesungguhan terlihat atas kejayaan melangsungkan pemerintahan kerajaan selama 33 tahun yang kekal tenang tanpa isu dan masalah besar, serta bersih dan berintegriti dari penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
- Bekas Menteri Besar, Almarhum Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat terpaksa menswastakan bekalan air menerusi syarikat usahasama antara Thames Water Pvt.Inc dan YAKIN iaitu Kelantan Water Sdn Bhd ekoran pembatalan projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) oleh Kerajaan Persekutuan. Pun begitu, atas kesungguhan beliau dan bagi memastikan kepentingan rakyat Kelantan terjaga, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) membeli balik saham-saham yang dimiliki oleh Thames Water dan mengambil alih semua saham yang dimiliki AKIN. Setelah semua saham menjadi milik PMBK, maka nama syarikat ditukar menjadi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
- Ketiadaan pendapatan kepada hasil negeri dan tanpa diberikan peruntukan oleh Pusat, termasuk disekat royalti petroleum, sememangnya kewangan Kelantan terpaksa bergantung kepada tebangan balak. Namun kesungguhan pimpinan dalam mentadbir serta rakyat yang menyumbang kemajuan terbukti apabila pendapatan negeri meningkat dari premium hasil tanah dan perkhidmatan kerajaan, termasuk mineral galian bumi menjadikan balak bukan lagi hasil utama Kelantan.
- Kelantan terus mempertahankan keluasan dan kehijauan hutan hingga menerima pelbagai anugerah ketika negeri lain semakin ‘botak’ untuk pembangunan fizikal diadakan. Malah ia dilakukan bukan sahaja demi menjaga kelestarian dan kestabilan alam sekitar semulajadi, tetapi untuk kepentingan kehidupan rakyat. Kesungguhan mengekalkan hutan sebagai perlindungan dan kawasan tadahan air telah merekodkan pewartaan kawasan seluas hampir 100,000 hektar setakat tahun 2020.
- Kesungguhan Kelantan memperjuangkan tuntutan terhadap hak royalti petroleum sebagaimana perjanjian yang wujud telah mempengaruhi sikap sama oleh Kerajaan Negeri Terengganu, Sarawak dan Sabah. Kesannya, banyak perbincangan dan persetujuan atau keputusan dapat dicapai sama ada di mahkamah mahupun di meja rundingan serta pelbagai platform lain. Semua ini menyebabkan Kerajaan Persekutuan semakin akur kepada semangat federalisme sebenar dan patuh kepada peruntukan undang-undang.
- Ketika heboh di negeri-negeri lain mengenai ‘kehilangan’ Tanah Rizab Melayu (TRM) dan dicabuli hingga berlaku pemilikan bertukar kepada kalangan bukan-Melayu, Kelantan pula merekodkan sebaliknya. Lebih 85 peratus dari keluasan negeri ini kekal terpelihara sebagai TRM dan merupakan tertinggi berbanding semua negeri. Ini petunjuk kesungguhan pimpinan Kerajaan Kelantan mempertahankan keberadaan dan jaminan hak serta kedaulatan orang Melayu selaku peribumi negara ini.
- Pemerintahan Kerajaan Kelantan mempelopori kesungguhan meninggikan Islam dan kebajikan apabila mengadakan banyak pembaharuan hingga ianya diikuti Kerajaan Negeri lain dan Kerajaan Persekutuan. Antaranya memiliki hampir 100 institusi pendidikan berteraskan Islam, meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah, menggubal Dasar Pendidikan Rabbani, mewujudkan perkampungan Desa Taqwa, peruntukan cuti wanita bersalin dan dalam iddah, memindah wang dari akaun konvensional ke Islamik dan banyak lagi.
Ini hanyalah 10 kisah dari ribuan yang pernah merealiti dan direalisasi oleh anak jati dan negeri bernama Kelantan Darul Naim ini, bahkan mungkin jauh lebih mengagumkan. Mari kongsi dan senaraikan lagi agar nanti dapat diukir di jongkong emas sebagai kegemilangan bersama.
Nazman Che Ibrahim