• Sat. Dec 7th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kemelut kerajaan Melaka hanya merencatkan momentum pemulihan UMNO

Apr 1, 2023
Spread the love

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu hari ini, menggantikan Datuk Seri Sulaiman Ali, dilihat sebagai noktah kepada kemelut politik di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, penganalisis politik berbeza pendapat mengenai polemik membabitkan jawatan pentadbiran tertinggi negeri itu, terutama kesan yang ditinggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, berpandangan pelantikan Ketua Menteri baharu itu dilihat sebagai strategi parti pemerintah terutama Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, biarpun tidak terbabit dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, strategi cuba dilaksanakan itu mungkin memerlukan Melaka memiliki seorang pemimpin yang berperwatakan lebih tegas.

“Dengan perubahan struktur kerajaan di Melaka, Ketua Menteri baharu ini perlu memiliki karakter boleh mengawal Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan di negeri itu.

“Jadi saya melihat pertukaran Ketua Menteri ini adalah percaturan dalam Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN dalam menghadapi PRU16 nanti,” katanya kepada BH.

Rusdi berkata, sekiranya Ketua Menteri baharu boleh melaksanakan tugasnya dengan baik, Melaka akan terus kekal di bawah Kerajaan Perpaduan dan jika sebaliknya berlaku, ia bakal memberi kesan kepada UMNO bukan sahaja di Melaka, malah di seluruh negara.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berpendapat kemelut jawatan Ketua Menteri Melaka hanya akan merencatkan momentum pemulihan UMNO.

Katanya, walaupun hanya berkisar di Melaka, langkah UMNO itu sendiri memberi kesan kepada prestasi, gerak kerja dan persepsi rakyat terhadap parti terbabit terutama menjelang PRN di enam negeri tidak lama lagi.

“Bagi saya ini tidak baik dalam kalangan rakyat kerana rakyat melihat tindak tanduk terbabit sebagai satu kerakusan kuasa cuba ditunjukkan oleh UMNO itu sendiri.

“Saya tidak terkejut kalau UMNO berhadapan kekalahan cukup besar dalam PRN akan datang kerana rakyat muak, rakyat melihat mereka ini seolah-olah dipergunakan oleh pemimpin rakus yang melihat kuasa semata-mata berbanding kebajikan rakyat dan kestabilan politik,” katanya.

Sulaiman sebelum ini meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri selepas menerajui negeri berkenaan sejak 2020 dan berjaya mengharungi PRN Melaka dengan jayanya pada awal tahun lalu.

Peletakan jawatannya disahkan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain memaklumkan keputusan diambil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu dibuat atas faktor kesihatan.

  • BH