MAFS dapat markah tercorot, Mat Sabu anggap berkaitan isu telur. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menyatakan tidak terkejut bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memperoleh markah tercorot berdasarkan pandangan awam seperti didedahkan sesi pemukiman Jemaah Menteri pada Ahad.
Mohamad berkata, pihaknya tidak terkejut dengan pandangan tersebut berikutan masalah bekalan telur termasuk ayam sudah menjadi tumpuan negara sejak setahun lalu.
Ujarnya lagi, markah tercorot tersebut didedahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali semasa pemukiman berkenaan.
“Masalah ayam dan telur telah berlaku selama setahun. Ia bukan berlaku selepas kita (Kerajaan Perpaduan) mengambil alih negara sejak Disember lalu.
“Bahkan markah tercorot tersebut bersambung sejak kepimpinan lalu (kerajaan terdahulu) sehingga kini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 MAFS di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pihaknya akan cuba mengatasi isu tersebut.
“Pada masa ini bekalan ayam sudah stabil manakala telur pula dijangka dapat distabilkan tidak lama lagi.
“Kita tidak boleh berasa marah sekiranya rakyat membuat rungutan kerana itu hak mereka maka sebagai kerajaan perlu bertindak cepat untuk menstabilkan bekalan tersebut,” jelasnya.
Menurut Mohamad, buat masa ini isu kekurangan bekalan dan keterjaminan makanan bukan sahaja dihadapi di Malaysia sebaliknya di seluruh dunia.
Pada masa sama, Mohamad berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan penternak-penternak telur berkait soal subsidi sama ada ia akan disusun semula, diteruskan atau diubah cara bagi memastikan bekalan tersebut dapat distabilkan.
“Ada pandangan supaya harga telur diapungkan dan subsidi harga telur diberikan kepada golongan B40.
“Kita akan kaji perkara itu sama ada ia baik atau tidak untuk golongan berkenaan,” ujarnya.
Mengenai soal menyusun semula subsidi, beliau berkata, perkara itu perlu dibincang oleh beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kewangan.