• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kemiskinan, punyai abang OKU, dorong Dr Mazri ceburi perubatan

Aug 27, 2023
Spread the love

MUAR: Berasal dari keluarga miskin dan mempunyai seorang abang orang kelainan upaya (OKU) mendorong calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya menceburi bidang perubatan.Advertisement

Menurut beliau, ibu bapanya yang berasal dari Batu Pahat telah membawa mereka sekeluarga berpindah ke Johor Bahru sekitar tahun 1960-an bagi mencari rezeki kerana di situ adalah pusat aktiviti ekonomi pada masa itu.

Tambahnya lagi bagi membantu menambah pendapatan keluarga beliau pernah menjaja kuih dan nasi lemak di situ semasa kecil kerana kemiskinan.

“Itu tidak mematahkan semangat kami dan alhamdulillah saya diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang pada tahun 1982 hingga tahun 1986.

“Saya daripada asal sudah menanamkan cita-cita untuk menjadi doktor. Saya melepaskan beberapa peluang belajar di luar negara pada masa itu kerana mahu ambil jurusan perubatan yang hanya boleh dilakukan di dalam negara,” ujarnya.

Katanya, beliau akhirnya diterima masuk sebagai pelajar perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1988 dan menamatkan pengajian pada tahun 1994 sebagai seorang doktor perubatan.

Kerjaya beliau sebagai doktor terus meningkat apabila menjadi doktor pakar pembedahan am dari tahun 2001 hingga 2004 di Hospital Kuala Lumpur dan sebagai  Pakar Perunding Pembedahan  pada tahun 2005 hingga 2009.

Beliau berkata demikian pada majlis Ceramah Perdana PERIKATAN NASIONAL bersama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini, malam tadi.

Mengulas tentang penglibatannya dalam politik, beliau berkata semasa PAS menghadapi krisis perpecahan pada tahun 2015 beliau adalah antara pimpinan PAS Johor yang kekal di dalam PAS pada masa itu.

“Ramainya sahabat yang bersama dengan PAS ketika itu meninggalkan PAS dan saya antara pimpinan yang tinggal bersama Ustaz Abdullah, kami berdua sahaja yang tinggal.

“Majoriti daripada kepimpinan Dewan Harian Negeri Johor pada masa itu keluar dari PAS hanya tinggal kami berdua. Saya akan tetap kekal bersama PAS selagi dasarnya bersama Islam,” ujarnya.

Pada PRK DUN Simpang Jeram, beliau berdepan dengan calon PH, Nazri Abd Rahman dan Bebas, S Jegananthan. – HARAKAHDAILY