• Mon. Dec 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

“Kenapa pemimpin PH, BN tidak minta Ngeh Koo Ham minta maaf pada Agong” tanya MB Perlis

Jan 1, 2024
Spread the love

Kenyataan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, atas cadangannya supaya pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, seharusnya disiasat dengan segera.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, walaupun pemimpin DAP itu sudah pun meminta maaf dan menjelaskan ia hanyalah pandangan peribadinya, ia tetap perlu disiasat kerana sudah menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam hal berkenaan.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku dan jika kita tengok balik sejarah, orang Islam tidak pernah mengganggu (hal ehwal) agama lain malah kita (orang Islam) tidak pernah ambil kisah akan hal ehwal agama lain, dan sepatutnya cara ini dapat mengharmonikan kehidupan bermasyarakat di negara ini.

“Dalam hal ini, saya harap DAP pun kena faham keadaan ini dan hari ini, saya ada lihat parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC juga kesal dengan apa yang berlaku dalam DAP sekarang ini kerana saya rasakan ia keterlaluan.

“Walaupun beliau (Koo Ham) sudah meminta maaf, satu siasatan perlu dijalankan terhadap beliau kerana ia membabitkan perkara 3R yang amat ditegah daripada dilakukan oleh mana-mana pihak di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru 2024 dan Himpunan Aid4Palestine di Dewan 2020, di sini, semalam.

Majlis dihadiri sekitar 1,000 orang dari seluruh Perlis.

Beliau berkata, pihaknya hairan kerana tiada sesiapa daripada kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) mahupun BN yang tampil menggesa supaya Koo Ham memohon maaf kepada Yang DiPertuan Agong selaku ketua agama Islam di negara ini atas keceluparan pemimpin DAP itu.

“Tidak ada satu suara pun yang menyuruh pimpinan DAP itu untuk meminta maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas keceluparannya (mengeluarkan kenyataan itu) dan tidak seperti ketika Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang dikatakan menyentuh isu 3R, maka ramailah pemimpin yang berduyun-duyun memaksa Muhammad Sanusi untuk memohon ampun daripada Sultan Selangor.

“Malah Umno yang dikatakan menjaga hal ehwal orang Melayu dan Islam selaku sekutu DAP juga senyap. Sepatutnya, Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang sebelum ini lantang menyuruh Muhammad Sanusi meminta maaf atas perkara 3R ini, meminta Koo Ham memohon maaf kepada bukan sahaja Yang DiPertuan Agong, malah kepada Sultan dan Raja-Raja Melayu yang juga ketua agama Islam negeri masing-masing,” katanya.