• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kenapa perkauman dilambakkan kepada Melayu sahaja tanya MB Kedah

Feb 14, 2023
Spread the love

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan tindakan meletakkan kesalahan ke atas orang Melayu dan Islam sahaja apabila timbul sesuatu isu berkaitan perkauman, sedangkan kaum lain juga kerap membangkitkan perkara rasis.

Mengulas tindakan individu yang mempergunakan isu perkauman dalam politik, beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS berkata isu berkenaan sepatutnya tidak hanya diletakkan ke atas orang Melayu dan Islam sahaja.

Pada masa sama, beliau turut membidas pakar Perlembagaan yang melambakkan kesalahan berkaitan perkauman hanya kepada orang Melayu sahaja.

Justeru, Muhammad Sanusi mengingatkan pakar Perlembagaan bahawa di Malaysia terdapat satu kaum yang hampir semuanya mengundi satu parti sahaja.

“Pakar Perlembagaan pun ada yang buta sejarah. Kalau sejarah yang telah berlalu dan dicatat dalam lembar kertas dan disampaikan secara lisan pun dia buta, bagaimana dia hendak membaca realiti semasa.

“Pasai apa (kenapa) isu perkauman yang dituduhnya itu hanya dilambakkan salahnya kepada orang melayu dan Islam sahaja?

“Apakah kerana dia tidak faham orang sebelah dia sedang bercakap tentang apa?

“Apakah dia belum sedar ada satu kaum yang hampir semuanya mengundi satu parti sahaja iaitu parti dia dan parti kawan-kawan dia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy baru-baru ini yang mempersoalkan dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam.

Sebelum ini, Ramasamy turut mengaitkan bahawa jumlah kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi oleh Melayu adalah punca perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.

Ramasamy yang juga Felo Penyelidik Kanan Pelawat di Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura mengenai politik Asia Tenggara seterusnya mendesak supaya “dominasi Melayu” dalam perkhidmatan awam dihentikan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu beranggapan perkhidmatan awam telah lapuk atau tepu, puncanya kerana perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu. Maka, penyelesaiannya ialah untuk kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti pecahkan dominasi tersebut.