Oleh: DR NABILA DIN (Media Fastaqim)
Meneliti senarai Jawatankuasa Kerja (JK) PAS Pusat bagi sesi 2021/2023 menampakkan gandingan mantap – ‘lineup’ hampir sama yang berjaya menduduki Putrajaya pasca Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14. Gandingan inilah yang berjaya meletakkan lapan Ahli Parlimen PAS sebagai menteri penuh dan timbalan menteri.
Malah, senarai padu ini pasti disusun oleh Presiden sebagai barisan hadapan menuju PRU Ke-15 nanti. Senarai ini jugalah yang akan menutup ‘mulut-mulut longkang’, si pengkritik yang mendakwa PAS dalam dilema antara memilih Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).
Sejak penubuhan PN, lebih-lebih lagi penglibatan PAS bersama-sama PN dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka, banyak dakwaan bertebaran, khasnya dalam media masa bahawa MN telah berkubur. Lebih jauh, dakwaan karut bahawa PAS telah berpecah dua, satu kaki di sebelah kolam MN, satu lagi menyokong PN.
Ini semua dakwaan bagi mereka yang tak kenal PAS. Pengkritik dan orang media gagal menghidu budaya PAS. Orang parti seteru lebih-lebih lagi. Orang yang kenal PAS, orang yang iltizam dengan usrah dan tarbiyah PAS pasti kenal sistem kerja jamaah PAS.
Dalam PAS, perbezaan pandangan tidak menjadi masalah. Fitnah dilarang. ‘Surat layang’ juga dilarang. Berbeza dalam perkara taktikal diraikan. Berbeza dalam uslub dan kaedah dialu-alukan. Boleh berbeza, namun apabila mesyuarat telah menetapkan sesuatu perkara termasuk hal siasah – semua yang berbeza itu taat dan patuh. ‘Sam’u wa ta’ah’. Bahtera belayar mengikut apa yang diarahkan.
Ini terbukti dalam PRN Melaka. Ada media yang galak mengklasifikasikan pimpinan PAS – ada didakwa pro-MN, ada yang pro-PN. Realitinya apabila Presiden dan JK Kerja PAS Pusat bersetuju untuk bertanding atas logo PN – semua pimpinan PAS di atas dan di bawah – semuanya berada di medan Bandar Bersejarah bergerak membantu calon PN-PAS. Tidak berbalah walaupun masing-masing ada pandangan sendiri.
Baik, kita teliti senarai kepimpinan PAS pasca Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 ini. JK PAS Pusat setelah Mesyuarat Kali Ke-2 pada 21 November 2021 lepas bersetuju mengekalkan semua kepimpinan tertinggi, iaitu Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Pengarah Pilihan Raya.
Perubahan hanya berlaku dengan perlantikan bekas Ketua Pemuda sesi lepas, YB Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Kamaruzaman Mohamad yang dilantik sebagai AJK. Perlantikan ini pasti meneruskan kerja-kerja Khairil dalam operasi media baru semasa dalam pemuda, sementelah PRU Ke-15 pasti luar biasa dengan penglibatan perang maya, kempen ala orang muda dan cabaran Covid-19.
Di peringkat dewan pula, semuanya kekal kecuali kemasukan YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari sebagai Ketua Pemuda yang baharu. Begitu juga senarai Pesuruhjaya Negeri-negeri yang semuanya tidak berubah kecuali di Melaka dengan Tuan Guru Zulkifli Ismail yang menggantikan Datuk Kamarudin Sidek.
Perlantikan JK Kerja PAS Pusat juga tidak banyak berubah. Perbandingan JK baharu dengan sesi lepas menunjukkan 19 orang telah dipilih semula serta empat orang baharu dimasukkan, iaitu YB Dr Aliakhbar Gulasan, YB Datuk Ahmad Amzad, YB Datuk Ahmad Marzuk Shaari dan Dato’ Dr Abd. Hakeem Johari.
Pemilihan keempat-empat pimpinan ini juga tiada yang luar biasa. Tiga daripada mereka adalah dipilih oleh perwakilan dalam muktamar lepas, malah bersesuaian kerana Dr Aliakhbar ialah ADUN lantikan di DUN Sabah, sementara Datuk Ahmad Amzad dan Datuk Ahmad Marzuk ialah timbalan menteri.
Dato’ Dr Abd Hakeem mungkin kurang dikenali oleh orang luar. Namun, beliau pernah berada dalam kepimpinan PAS Pusat sebagai JK Kerja lantikan sesi 2017-2019 dan pernah menjadi Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan.
Ada pula dakwaan bahawa beberapa pimpinan terkenal dalam PAS ‘dibuang’ oleh perwakilan. Hakikatnya, pendakwa masih lagi jahil memahami sistem pemilihan dalam PAS. Bagi ahli PAS, termasuklah perwakilan – semua orang yang bertanding adalah layak sebagai pimpinan. Mereka semua berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Masalahnya, ruang untuk dipilih sangat terhad. Semuanya hebat-hebat, tetapi hanya 18 slot sahaja untuk diisi. Lalu 43 pimpinan yang dicalonkan sudah pasti menimbulkan kesukaran kepada perwakilan. Lebih-lebih lagi beberapa antara mereka seperti timbalan menteri perlulah ada sebagai pimpinan pusat.
Terdapat lima orang pimpinan sesi lalu kini tidak berada dalam saf utama pada sesi ini. Namun, ada yang tidak mahu dicalonkan semula, sebahagiannya dipercayai menarik diri selepas dicalonkan sementara sebahagian lagi terlibat dalam jawatankuasa PAS di peringkat lain yang juga perlu diberi fokus tumpuan.
Lalu bergeraklah kepimpinan baharu ini menuju PRU Ke-15 dengan taktik dan strategi. Kami pasti mentaatinya. Kami iringi dengan lirik kita, bergeraklah ke gerbang jasa kerana kalah menang bukan alasannya. Marilah semua sucikanlah niat di hati hingga nyata benarnya janji rabbi. Allahu Akbar!.