KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Kerajaan akan memperluas penanaman kenaf di seluruh negara termasuk di negeri pantai barat, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata setakat ini keluasan tanaman kenaf di seluruh negara adalah 1,977.36 hektar dan lebih tertumpu di negeri pantai timur melibatkan 1,357 penanam.
“Ketika ini, harga untuk satu tan kenaf RM500 dan bagi setiap hektar hasilnya mencecah 10 tan bagi tempoh empat bulan.
Rata-rata petani menanam (dengan keluasan) satu hingga tiga hektar kenaf, jadi, pendapatan mereka bagi tempoh empat bulan mencecah RM5,000 hingga RM15,000,” katanya menerusi ciapan di Twitter Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, @mpic_my hari ini.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata kerajaan berhasrat menumpukan penghasilan benih kenaf di negeri wilayah utara seperti Kedah dan Perlis, kerana faktor cuaca yang lebih panas dan kering berbanding di pantai timur yang sesuai menjadi pusat pengagihan benih.
“Permintaan terhadap kenaf adalah tinggi dan kita berharap pendapatan yang agak baik daripada tanaman ini menjadi motivasi untuk lebih ramai petani melibatkan diri,” katanya.
Mohd Khairuddin juga dilaporkan berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan bernilai RM968,680 kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk membantu mereka yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik COVID-19.
- SUMBER BYBERNAMA 10/8/2020