• Fri. Mar 21st, 2025

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kerajaan dalam ketakutan, guna polis tutup mulut pengkritik kata Sanusi

Jul 18, 2023
Spread the love

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkata kerajaan menggunakan polis untuk menahan pembangkang, dengan menyatakan ia mencerminkan kebimbangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

“Tujuan mereka adalah untuk menjejaskan peluang saya dalam PRN.

“Saya yakin dengan pendakwaan ini, rakyat Malaysia memahami hasrat sebenar mereka disegerakan pendakwaan ke atas saya ini dengan tiga hari siasatan sahaja,” kata Sanusi selepas keluar dari bilik mahkamah di mana beliau didakwa atas dua pertuduhan menghasut.

Bahkan, katanya, beliau langsung tidak dimaklumkan akan dituduh pagi ini sehingga ianya dilaporkan oleh media.

Terdahulu, Sanusi tiba di perkarangan mahkamah sekitar jam 8.30 pagi bagi mendengar dua pertuduhan berhubung satu ceramah politik di Selayang, minggu lepas.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan sebutan kes akan diteruskan pada 4 Oktober depan.

“Alhamdulillah, Oktober (nanti). Sempat la masuk PRN dulu,” selorohnya.

Sanusi turut menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terbaru yang dihadapinya mengatakan negara kini sudah hilang kebebasan bersuara.

Tambahnya, ahli-ahli politik dilihat tidak lagi boleh bercakap apa-apa di pentas ceramah.

“Kalau di pentas politik, orang akan selesaikan masalah di medan politik memberikan hujah balas kepada pertikaian atau ucapan dan hujahan kita.

“Tapi di Malaysia hari ni, kerana kita ada kerajaan yang takut, mereka guna polis untuk tahan ataupun sekat ucapan-ucapan kita.”

Katanya, ini jelas menjadikannya satu petunjuk bahawa kerajaan campuran di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berada dalam keadaan ketakutan.

Katanya, segala alat negara termasuk agensi-agensi awam digunakan untuk menyekat kehangatan dan kemaraan rakyat.

“Saya harap PRN akan datang ini, enam negeri itu akan dapat dimenangi oleh PN,” katanya.