KUALA LUMPUR, 29 JUN 2022 – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa menumpukan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutamanya ketika suasana ekonomi yang mencabar ketika ini berbanding perkara lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sehingga hari ini, isu selain daripada kepentingan rakyat termasuklah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak pernah disentuh oleh Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat kabinet.
“Dalam kabinet sebenarnya lebih menumpukan dan membincangkan bagaimana kita nak membantu rakyat terutama dalam suasana ekonomi yang agak berat pada hari ini, macam mana kita nak berikan bantuan sama ada melalui subsidi, melalui program-program jualan murah, itu yang selalu kita fikirkan.
Idris berkata, pada ketika ini, setiap pemimpin politik seharusnya mengelakkan diri daripada terlibat dengan perebutan kuasa yang akhirnya hanya akan merugikan rakyat.
Sebaliknya, katanya, kedudukan sebagai pemimpin seharusnya dipergunakan dengan sebaik mungkin untuk menjadi pemudah cara kepada kehidupan rakyat.
Justeru, Idris menggesa seluruh pimpinan politik di negara ini untuk mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik masing-masing. – Bernama