Firman Allah SWT :
۞ اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُكُمْ اَنْ تُؤَدُّوا الْاَمٰنٰتِ اِلٰٓى اَهْلِهَاۙ وَاِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ اَنْ تَحْكُمُوْا بِالْعَدْلِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهٖ ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ سَمِيْعًاۢ بَصِيْرًا.
Mafhumnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan tanggungjawab kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil (berpandukan Syariat Allah SWT). Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi nasihat (pengajaran) kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat”.
Surah An-Nisa : 58
Madani adalah perkataan yang merujuk kepada kemajuan yang dibina di atas panduan akidah syariat. Ianya suatu yang dilakukan atas dasar kepatuhan kepada Allah SWT di atas prinsip amanah, adil, integriti, bersih, telus, tulus, beradab susila dan bercirikan wasatiyyah.
Pemimpin yang membawa konsep madani akan meletakkan kepentingan Agama, masyarakat dan negara adalah keutamaan dalam urus tadbirnya. Mengenepikan kepentingan peribadi, nepotisma, kronisma atau apa jua yang memberikan makna ke arah yang demikian. Panduan ini telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai generasi contoh kepada umat yang terakhir ini.
Madani daripada Kamus Dewan bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (bukan masyarakat, generasi dsb): iaitu usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan; kurikulum itu juga terarah kepada pembinaan masyarakat.
(Kamus Dewan Edisi Keempat)
Manakala perkataan “madani” yang berasal daripada bahasa al-Quran hendaklah diterjemahkan dengan makna yang sahih secara beramanah dengan ilmu Islam, sumber ilmu yang wajib dipelihara, disampaikan dan diamalkan mengikut perintah Allah.
Menurut Presiden PAS, YB Tan Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, acuan madani yang tidak berasaskan acuan Allah SWT dan Rasulullah SAW pasti akan menuju kegagalan yang sama seperti mana tamadun sebelumnya dan tamadun moden yang sedang membakar dirinya sekarang.
Syeikh Abul Hasan ‘Ali al-Nadawi pernah menegaskan konsep Negara Hidayah, bukan Negara Jibayah. Negara Hidayah bermaksud sebuah negara yang mengikuti jalan yang lurus (hukum hakam, perundangan dll). Manakala Negara Jibayah pula bermaksud negara yang berpandukan kepada asas materialistik semata-mata (tanpa menilai sama ada ianya berkait dengan soal halal, haram, kejujuran, integriti dan seumpamanya).
Pendekatan kerajaan yang membawa aspirasi Kerajaan Madani perlulah dibuktikan secara telus, tulus dan jelas dalam segala tindak tanduk yang diambil di setiap kementerian.
Apakah fokus utama yang perlu ditekankan oleh pihak kerajaan? Seharusnya ia berfokus untuk kepentingan Agama, Bangsa dan Negara yang menjadi keutamaan.
Urus tadbir yang telus, berintegriti dan bersih perlu ditunjukkan kepada seluruh masyarakat. Langkah ke arah mewujudkan pengukuhan ekonomi rakyat dalam negara antara keutamaan yang sepatutnya difikirkan. Peluang pekerjaan yang adil, harga barangan keperluan yang stabil di samping bekalan yang mencukupi perlulah menjadi fokus utama kerajaan.
Propaganda yang sekadar untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap pihak lawan politik hanya menambahkan muak rakyat kepada kerajaan. Begitu juga penyelesaian masalah yang tidak serius akan mewujudkan emosi yang tidak stabil di kalangan rakyat yang sedang tertekan dengan kenaikan harga barangan dan kos yang lain. Apa lagi sesi baharu persekolahan akan bermula tidak lama lagi.
Kecairan ekonomi dalam negara perlulah dijadikan antara agenda utama dalam membina kesejahteraan hidup rakyat. Golongan yang dahulunya dikenali sebagai B40 kini telah bertambah bilangan mereka dengan ketara. Bantuan kewangan tahunan sahaja tidak dapat menyelesaikan bebanan yang ditanggung oleh rakyat, namun peluang pekerjaan dan ruang penjimatan kos adalah lebih utama untuk membantu meringankan bebanan mereka dalam jangka panjang.
Justeru PAS Johor menggesa kerajaan Malaysia agar memberikan fokus kepada tanggungjawab dan manifesto dalam PRU 15 kerana itu yang pastinya ditunggu-tunggu oleh rakyat. Kerajaan Madani yang dibina di atas prinsip benar, adil, integriti, bersih dan telus perlulah direalisasikan kepada semua.
‘Malaysia Sejahtera’
Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor.
19 Rejab 1444
10 Februari 2023