• Mon. Sep 9th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kerajaan pusat mahu kurangkan permohonan RM8 bilion Kelantan? – Nazman

Jun 24, 2023
Spread the love

Pembangunan fasiliti perkhidmatan perbekalan air

Terdapat pihak-pihak mengambil kesempatan menimbulkan sangkaan buruk terhadap Kelantan minggu lepas, berhubung pembangunan fasiliti perkhidmatan perbekalan air.

Permohonan Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kerajaan Persekutuan peruntukan sebanyak RM8 bilion cuba diheret ke kancah polemik dan dipolitikkan.

Semua jarum-jarum menyucuk itu sudah lali di batang tubuh negeri ini yang berdepan diskriminasi dan anak tiri serta dihodohkan dengan pelbagai tohmahan.

Jika terdapat mereka di pihak Kerajaan Persekutuan sendiri cuba meletuskan persepsi atau propaganda berkaitannya, tidaklah Kelantan merasa janggal.

Tidak diketahui apa motif Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad minggu sebelum ini, melontarkan ke pengetahuan awam perkara itu?

Kalau perkara itu dilakukan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tentu beliau sudah dituduh membocorkan perbincangan mesyuarat.

Namun hakikatnya, di pihak Kelantan perkara tersebut tiada yang perlu dirahsiakan dan ia memang berhak diketahui oleh masyarakat awam.

Cuma Nik Nazmi mendahului makluman yang sinis kepada pertikaian itu seolah-olah mahu ia diperdebatkan di media sosial.

Jika untuk menghasil atau menyediakan 2,000 juta liter sehari (JLH) dengan peruntukan RM8 bilion tersebut dinilai tidak wajar, mesyuaratlah medan perbincangannya.

Lagipun, ia adalah permohonan berdasarkan keperluan dan pelaksanaan “bakal diadakan”.

Di mana ianya disertakan sama dengan dokumen-dokumen berkaitan sebagai rujukan dan sokongan untuk pengesahan dan kelulusan. Maka, boleh sahaja ia diterima mahupun ditolak, tetapi sertakanlah hujah-hujah atau penjelasan yang sewajar dan seadilnya tanpa prejudis.

Bukan sepatutnya menjadikan ia spekulasi yang mana dilihat berupa alasan-alasan mungkin untuk menolaknya, atau mengurangkannya, atau melambatkannya.

Tetapi menimbulkan prasangka yang membayangkan Kelantan seakan akan sengaja “memperbesar bajet” pembangunan air atau ‘sakau’ peruntukan itu nanti, sangatlah senak otak itu.

Untuk rekod, air terawat yang dibekalkan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) ketika ini adalah sekitar 484.5 JLH iaitu kepada 255,000 akaun setakat Mei 2023.

Ini mewakili separuh daripada pengguna di Negeri Kelantan, di mana jika mahu 99 peratus rakyat menggunakan air AKSB, maka sekitar 500 JLH lagi diperlukan.

Itu belum termasuk keperluan untuk sektor industri yang semakin berkembang di bumi Serambi Makkah ini di mana turut memerlukan penggunaan air.

Selain keperluan yang bersifat jangkaan ke hadapan dan menyediakan jaminan bagi pembangunan bandar-bandar baharu dan tarikan pelabur.

Ketika ini sekitar 40 peratus bekalan air mentah diabstrak dari sumber bawah tanah dan sekitar 60 peratus lagi dari sungai yang mengalir di Negeri Kelantan.

Namun, seperti sedia dimaklumi, fasiliti pemprosesan dan perbekalan air negeri ini ketinggalan berbanding negeri lain.

Jumlah dipohon itupun mewakili ‘lost development years’ yang telah Kelantan lalui di mana bukan sahaja memerlukan pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu, tetapi juga naik taraf, selain pembangunan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), penggantian paip usang dan jajaran baharu, serta menangani air tidak berhasil (NRW).

Demikian itu, jika pihak Kerajaan Pusat memiliki kaedah memurahkan peruntukan pelaksanaan pembangunan tersebut, dipersila lakukannya.

Tetapi untuk menuduh Kelantan akan menyeleweng, hentikanlah kerana kita punyai audit dan pihak penguat kuasa yang berkaitan.

Jika benar pihak-pihak berkenaan merasakan Kelantan akan berbuat demikian, mereka sepatutnya gembira membiarkannya agar boleh menjadi perangkap dan mencipta sejarah memusnahkan rekod integriti dan bersih pentadbiran diterajui PAS.

NAZMAN CHE IBERAHIM