• Fri. Feb 23rd, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kerajaan tetap tak benarkan pengeluaran KWSP – Rafizi

Apr 4, 2023
Spread the love

Kerajaan tak benarkan pengeluaran bersasar KWSP kerana bertanggungjawap jaga kebajikan rakyat,…kalau pencarum mati sekalipun simpanan dapat kat waris – Rafizi

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan bukan memilih jalan singkat semata-mata untuk meraih populariti sementara dan tinggalkan beban masalah kepada pimpinan lain di masa hadapan untuk diselesaikan.

“Pagi tadi, beberapa ahli parlimen pembangkang protes keluar dewan bila Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar KWSP dibahaskan hari ini.

“Ini sebab mereka tidak faham atau tidak ambil berat masa depan rakyat. Jadi, saya nak jelaskan sikit kenapa kerajaan tidak membenarkan KWSP dikeluarkan secara bersasar.

“Pertama, KWSP diwujudkan untuk pencarum mempunyai simpanan di hari tua. Ia juga mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

Beliau menambah, kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak keluarkan wang KWSP kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.

“Sekiranya pencarum mati sekalipun, simpanan dalam KWSP akan dapat kepada waris,” katanya.

Pembukaan sesi Dewan Rakyat pagi ini, kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan.

Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang KWSP secara bersasar.

Wan Ahmad Fayshal berkata, usul yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, Jumaat lalu, ditolak atas alasan isu itu sudah dijelaskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, sebelum ini.

Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong, berkata keputusan sudah dibuat Johari dan beliau tidak boleh mengetepikannya.

Keputusan Alice itu menyebabkan sebahagian Ahli Parlimen PN berdiri dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempersoalkan keputusan itu kerana sudah tiada masa lagi untuk usul itu dibincangkan pada sesi kali ini.

Alice tetap tegas dengan keputusannya, menyebabkan Ahli Parlimen PN keluar dewan sebagai tanda protes.

  • BH