Kes jangkitan baharu Covid-19 meningkat kepada 5,330 kes semalam berbanding 4,204 kes kelmarin.
Menurut data laman web CovidNow, pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 di Malaysia pada ketika ini adalah sebanyak 4,692,800 kes.
Bagi kes sembuh pula dilaporkan sebanyak 3,075 kes semalam, menjadikan jumlah terkumpul kesembuhan adalah 4,610,282 kes.
Sebanyak 10 kes kematian dilaporkan semalam dan satu daripadanya merupakan kematian sebelum tiba di hospital (BID).
Sekali gus, menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 setakat semalam adalah sebanyak 35,995 kes dan jumlah terkumpul BID sebanyak 7,647 kes.
Jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia pada ketika ini adalah sebanyak 46,523 kes dengan 44,885 kes atau 96.5 peratus pesakit menjalani kuarantin di rumah dan 29 kes atau 0.1 peratus di Pusat dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Sebanyak 1,560 kes atau 3.4 peratus pesakit dirawat di hospital, 15 kes atau 0.0 peratus berada di unit rawatan rapi (ICU) tanpa alat bantuan pernafasan dan 34 kes atau 0.1 peratus lagi di ICU dengan alat bantuan pernafasan.– RELEVAN