• Sun. Dec 8th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kes SRC: Najib kekal di penjara

Mar 31, 2023
Spread the love

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam permohonannya untuk dapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman.

Sehubungan itu, ruang dan peluang untuk Najib bebas daripada kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. terkubur.

Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Nordin Hassan menyokong.

Ketua panel tersebut Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan tersebut.

Pada ketika ini, Hakim Abdul Rahman sedang membacakan penghakiman menentangnya.

Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan itu pada 6 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan permohonan semakan tersebut atas alasan antaranya tidak mendapat perbicaraan yang adil dan berlaku konflik kepentingan membabitkan Hakim Tengku Maimun.

Pada 23 Ogos 2022, Hakim Tengku Maimun bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mengesahkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada hari yang sama. – UTUSAN