• Fri. Oct 4th, 2024

Media Fastaqim

Berita Semasa, Artikel dan Video Nasional

Kes Ustaz Dusuki: Hakim arah Miqdad padam hantaran di Facebook

Nov 1, 2023
Spread the love

KUALA TERENGGANU, 31 OKT: Suatu perkara yang menarik berlaku di Mahkamah Seksyen di sini apabila YA Hakim mengarahkan Defendan yang disaman oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani memadamkan hantarannya di facebook serta-merta.

Defendan tersebut, Miqdad Zakaria didapati memuatnaik soalan-soalan yang ditanya oleh peguamnya kepada Ustaz Ahmad Dusuki ketika perbicaraan sedang berlangsung pada hari ini.

Perkara ini dibangkitkan oleh peguam Ustaz Ahmad Dusuki, Mohd Jamil Yaacob bersama dengan Mohd Kamarulzaman Jusoh apabila sidang perbicaraan disambung semula pada sebelah petang.

Menurut peguam tersebut, tindakan Miqdad adalah suatu bentuk subjudis terhadap mahkamah serta penghinaan terhadap Ustaz Ahmad Dusuki yang ketika itu masih belum menjawab pemeriksaan balas kepada mahkamah.

Malah, YA Hakim menghentikan perbicaraan selama 15 minit hinggalah tiga hantaran yang dibuat Defendan dipadam.

YA Hakim kemudiannya memberikan amaran kepada semua pihak terutama Defendan dan membangkitkan bahawa adalah perkara salah untuk mengambil gambar atau video di dalam Mahkamah apatah lagi membincangkan pertanyaan-pertanyaan dan jawapan yang dibuat sedangkan tiada keputusan dibuat oleh YA Hakim lagi mengenai tuntutan tersebut.

Peguam Miqdad diarahkan untuk memberitahu anak guamnya agar memadamkan hantaran tersebut. Peguam Ustaz Ahmad Dusuki menjelaskan bahawa hantaran-hantaran yang dibuat oleh Miqdad mengundang kecaman sedangkan perkara itu masih di peringkat perbicaraan.

YA Hakim memberikan amaran keras agar perkara ini tidak berulang. Sementara itu Peguam Miqdad menyatakan kepada Mahkamah bahawa mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang perbuatan anak guam mereka dan akan memberikan arahan agar tidak berulang lagi dan hantaran-hantaran sedia ada dipadam serta merta.

Hantaran-hantaran itu kemudiannya terus dipadam oleh Miqdad setelah diberi amaran oleh YA Hakim.

Untuk rekod, perbicaraan hari ini adalah sambungan bagi saksi kedua Plaintif dan sudah dibicarakan sebanyak tiga kali sejak awal September lepas.

Ustaz Ahmad Dusuki menyaman Miqdad atas dakwaan memfitnah beliau sebagai seorang yang semasa hidupnya suka menyebar hadis palsu.

Miqdad bagaimanapun dalam pembelaannya menafikan bahawa kata-kata yang ditulisnya dalam Facebook milik beliau adalah ditujukan kepada Ustaz dan dalam masa sama mengatakan kata-kata yang dibuat itu adalah untuk Ustaz agar meminta maaf kepada masyarakat.

Selain itu, terdapat satu saman lain dalam mahkamah yang sama daripada Ustaz Ahmad Dusuki ke atas Miqdad atas dakwaan memfitnah beliau sebagai ‘al-kazzab’.

Kedua-dua kes saman oleh Ustaz Ahmad Dusuki diwakili oleh Tetuan Srihana Mohamad & Partners dan akan disambung dan disebut pada pertengahan bulan November ini.