Bekas veteran UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa agar akar umbi parti tersebut tidak lagi tertipu dengan helah yang sedang dilakukan Presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Arau yang sebelum ini dipecat parti kerana selalu mengkritik Zahid berkata, ahli-ahli UMNO sudah dikhianati sebelum ini dan menyifatkan satu undi kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bermakna memberi satu undi juga kepada DAP.
“Saya nak bagi tahu kepada orang UMNO, Presiden hampa mengkhianati perjuangan UMNO. Tuan-tuan dalam UMNO, saya masih ingat mereka menyanyi ‘No Anwar, No DAP.
“Tuan-tuan, orang pangkah UMNO kerana niat suci mereka untuk agama, bangsa tanah air dan ’No Anwar, No DAP’.
“Tapi pemimpin dengan mudah tuan-tuan, dia terus ‘Yes Anwar, Yes DAP. Saya percaya orang UMNO jika suruh undi balik, dia tak akan bagi,” katanya semasa berucap di ceramah Pertahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil malam tadi.
Shahidan membangkitkan berhubung pendirian UMNO sebelum ini semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu yang menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Bagaimanapun selepas PRU-15, Zahid sebaliknya mengheret UMNO untuk bersama dengan DAP dalam satu kerajaan dan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
Dalam ucapannya, Shahidan kasihan dengan ahli-ahli UMNO yang ditipu secara terang-terangan oleh Zahid.
“Orang UMNO telah ditipu, kasihan… Saya rasa orang UMNO yang nak pakai baju pun tak berani pada pilihan raya ini… Satu undi kepada UMNO bermakna satu undi DAP,” katanya lagi.
Dalam menghadapi PRN enam negeri, UMNO akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang didalamnya terdapat DAP.