Penyokong kerajaan Madani digesa mempertahankan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang dikritik seorang pemimpin UMNO baru-baru ini.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata penyokong kerajaan tidak wajar membiarkan Timbalan Presiden PKR itu diserang pemimpin UMNO walhal terdapat juga menteri daripada parti lain dalam kerajaan campuran yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.
“Saya sangat tidak senang dengan perkembangan ini. Kenapa pertikaikan Menteri Ekonomi sebegini rupa? Siapa Datuk untuk katakan dia gagal? Menteri-menteri lain berjaya sangatkah?
“Jom semua penyokong kerajaan Madani kita jangan biarkan serangan sebegini ke atas kerajaan kita. Ini hanya permulaan sahaja, barangkali banyak lagi serangan jika dibiarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakashi berkata sehingga kini masih belum ada langkah signifikan dilakukan Rafizi.
“Rakyat belum nampak langkah signifikan yang Rafizi buat untuk ekonomi negara.
“Sekurang kurangnya polisi baru ‘ekonomi rakyat’. Mana dia dasar yang lebih baik daripada BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Puad mempersoalkan persiapan Rafizi sebagai menteri dan menyindirnya susulan memiliki banyak formula ketika menjadi pembangkang.
“Apakah Rafizi tiada persiapan untuk jadi menteri. Itu masalahnya bila banyak sangat formula sebelum jadi Menteri. Bila jadi menteri tidak boleh biasa biasa. Mesti luar biasa.
“Jangan nanti rakyat kata ‘Rafizi turun, ringgit naik’. Agaknya itu punca timbul cerita akan berlaku rombakan kabinet. Menteri kena luar biasa untuk pertahankan kerajaan perpaduan,” katanya lagi.
Rafizi baur-baru ini dilaporkan media sebagai berkata menguruskan ekonomi negara perlu dilihat dalam perspektif menyeluruh kerana ia bukannya semata-mata ditentukan oleh nilai mata wang.
Katanya lagi, banyak perkara perlu dilihat termasuk soal pertumbuhan ekonomi, inflasi, kadar kutipan hasil negara dan fiskal defisit.