KHIDMAT MALAYSIA HANTAR JABATAN AMAL MALAYSIA BANTU OPERASI SAR TANAH RUNTUH DI BATANG KALI SELANGOR
Oleh ASHRAUL FAUZAN 16 November 2022
HULU SELANGOR – Keheningan di awal pagi tadi dikejutkan dengan panggilan telefon kepada pasukan penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkenaan satu kejadian tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor.
JBPM negeri selangor yang menerima panggilan itu sekitar jam 2.30 pagi tadi telah menggerakkan anggota penyelamat yang terdiri daripada Anggota Bomba dan anggota Special Tactical Operational Rescue Team of Malaysia (STORM) ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat dan mencari mangsa yang dilaporkan tertimbus.
Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) telah mengaktifkan anggotanya yang terdiri daripada 10 anggota Jabatan Amal Malaysia untuk membantu gerakerja menyelamat mangsa yang hilang.
Anggota Jabatan Amal Malaysia yang lengkap dengan peralatan menyelamat telah dibenarkan masuk ke kawasan bencana oleh Pegawai Operasi Kawasan Bencana bagi membantu usaha mencari mangsa-mangsa yang tertimbus.
Menurut jurucakap Jabatan Amal Malaysia, Tuan Shehdi Hazriq, Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Amal Malaysia merangkap Penolong Pengarah Operasi (Penyelamat) Khidmat Malaysia, anggota Jabatan Amal Malaysia yang terlibat dengan operasi ini pernah mengikuti latihan operasi menyelamat sebelum ini dan masing-masing memiliki kemahiran tertentu yang sedikit sebanyak boleh membantu dalam operasi ini.
Pengerusi Khidmat Malaysia, YB Dato’ Hajah Siti Zailah Binti Mohd Yusoff, menyatakan komitmen Khidmat Malaysia dalam membantu para mangsa terlibat termasuklah bagi mangsa yang memerlukan khidmat perubatan psikiatri atau lain-lain bantuan berkaitan khidmat psikologi.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota penyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Di Raja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan tidak ketinggalan Pasukan SMART yang bertungkus lumus membanting tulang menjalankan operasi sejak awal pagi tadi lagi.
Ucapan itu disampaikan kepada Datuk Nor Hisham Bin Mohammad, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM yang sudi meluangkan masa memberi taklimat ringkas kepada Pengerusi Khidmat Malaysia dan rombongannya sewaktu lawatan YB Pengerusi Khidmat Malaysia ke Pusat Operasi Kawasan Bencana berhampiran lokasi kejadian.
Menurut YB Pengerusi lagi, Khidmat Malaysia akan segera mengerahkan seluruh kekuatan Khidmat Malaysia terutamanya Khidmat Malaysia Negeri Selangor, Jabatan Amal Malaysia dan NGO yang berada di bawah Khidmat Malaysia agar dapat menyegerakan penghantaran bantuan terutamanya kepada anggota penyelamat dari sudut makanan sedia di makan dan tidak dilupakan kerahan lebih ramai anggota Jabatan Amal Malaysia untuk terus membantu operasi menyelamat.
Ketika kenyataan ini dikeluarkan, sebuah trak membawa pelbagai barangan sumbangan Khidmat Malaysia sedang dalam perjalanan menuju ke lokasi operasi menyelamat dijalankan.
Dalam masa yang sama, YB Dato’ Hajah Siti Zailah tidak lupa untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi yang menyayat hati ini.
Biarpun tidak sempat untuk bertemu dengan ahli keluarga mangsa, beliau turut berkongsi rasa sedih bersama seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti berita ini dari liputan media yang sentiasa melaporkan keadaan terkini situasi tragedi tanah runtuh di kawasan terbabit.
Akhir sekali beliau mendoakan supaya anggota penyelamat dapat menyelesaikan operasi ini dengan selamat dan mudah-mudahan semua mangsa dapat dikeluarkan daripada kawasan runtuhan dengan kadar segera.