11 November 2022
GOMBAK – Hujan Lebat berterusan sejak beberapa hari yang lalu telah mengakibatkan berlakunya Banjir Kilat di beberapa tempat di tiga buah negeri iaitu Selangor, Kelantan dan Johor. Rentetan daripada itu, Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Khidmat Malaysia telah diaktifkan untuk menyelaraskan bantuan kepada Mangsa Banjir bagi kawasan yang terjejas di samping untuk mendapatkan perkembangan situasi bencana yang berlaku di tempat terbabit.
Khidmat Malaysia Negeri Selangor telah melaporkan kepada BGIB berkaitan tempat-tempat yang telah dikenal pasti telah menghadapi bencana banjir iaitu Johan Setia dalam Kawasan Kota Raja, Jalan Hamzah Dalam kawasan Kapar dan Kg. Melayu Subang dalam kawasan Sungai Buloh.
Khidmat Malaysia Kawasan Kapar dengan kekuatan lebih 50 orang telah memulakan operasi selamat dan pindah mangsa banjir daripada kawasan bencana ke pusat pemindahan sementara (PPS) SK Sg Binjai. Khidmat dan bantuan diteruskan pagi ini dengan pasukan memasak di dapur rakyat Khidmat Malaysia Kapar yang telah menyediakan makanan untuk semua mangsa banjir yang memerlukan.
Dalam masa yang sama di tempat yang lain, Khidmat Malaysia Sungai Buloh telah menggerakkan kekuatan Anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Sungai Buloh di bawah Khidmat Malaysia Sungai Buloh telah turun membantu operasi membersih di Taman Warisan, Kg. Melayu Subang sebaik sahaja banjir kilat mulai surut. Operasi di mulakan dengan pembersihan surau di kawasan terjejas. BGIB difahamkan operasi pembersihan akan menyusul ke atas rumah-rumah yang memerlukan bantuan pembersihan. Mengikut rekod, 30 buah rumah telah terjejas dengan banjir yang melanda di Kg. Melayu Subang ini.
Beberapa hari sebelum itu, Kg. Johan Setia di Klang telah pun dilanda banjir yang telah menyebabkan hampir 250 buah rumah telah dinaiki air. Daripada jumlah itu, 40 orang mangsa telah dipindahkan ke PPS SK Johan Setia yang telah dibuka sebaik sahaja mendapat arahan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Petugas Khidmat Malaysia Kota Raja telah membuat tinjauan di kawasan banjir dan melaporkan situasi kepada Khidmat Malaysia negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Menurut Jurucakap Khidmat Malaysia, Mohd Ashrul Hisyam Bin Abdul Jalil, Setiausaha Khidmat Malaysia di pejabat Khidmat Malaysia di Gombak sebentar tadi, bagi menghadapi musim monsun timur laut yang turut memberi kesan kepada pantai barat semenanjung Malaysia, Khidmat Malaysia telah melancarkan tabung khas bencana bagi meringankan beban mangsa bencana yang dianggarkan mencecah ribuan mangsa dengan belanja dianggarkan sebanyak Ratusan Ribu Ringgit. Justeru para penyumbang digalakkan untuk terus menghulurkan sumbangan bagi melancarkan proses penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Sumbangan itu boleh disalurkan melalui akaun 562384542866
(Maybank Islamic) di bawah nama Pertubuhan pengurusan kecemasan bencana Malaysia (Khidmat Malaysia).
Khidmat Malaysia juga boleh dihubungi melalui talian hotline 0105449866 untuk sebarang maklumat berkaitan bencana terkini.
BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN BERAMAL KERANA ALLAH


